
SERDANG, 6 September – Kerajaan berjaya mengurangkan defisit imbangan dagangan sektor agromakanan sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025.
- Pencapaian pengurangan defisit sektor agromakanan hasil komitmen dan usaha sejak MAHA 2024, difahami sebagai kejayaan bersama.
- Harapan defisit agromakanan terus mencatatkan penurunan pada tahun ini.
- Menteri mohon Perdana Menteri tambah peruntukan bagi merapatkan jurang import dan eksport sektor agromakanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu susulan komitmen yang dibuat pada penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 untuk mengurangkan jurang defisit imbangan dagangan negara dalam sektor berkenaan.
“Semasa penganjuran MAHA 2024, kami semua telah berjanji untuk mengurangkan jurang defisit imbangan dagangan negara dalam sektor agromakanan.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras kita semua dan sokongan Perdana Menteri, Kerajaan MADANI berjaya mengurangkan defisit imbangan dagangan dalam sektor agromakanan sebanyak RM5.4 bilion ringgit atau 13.8 peratus, tahun lepas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026, di sini.
Tahun ini, beliau berharap defisit imbangan dagangan sektor agromakanan akan terus mencatatkan penurunan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menambah peruntukan kepada kementeriannya bagi merapatkan jurang antara import dengan eksport.