
SERDANG, 6 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan golongan pesawah tidak sepatutnya menjadi mangsa dalam isu kelewatan bekalan Baja 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di Kedah.
- Isu kelewatan bekalan baja menjejaskan imej Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
- KPKM mempunyai rekod prestasi baik; pegawai berjiwa prihatin ingin membantu rakyat.
- Kerajaan Persekutuan akan terus memperkasa dan membantu pesawah serta memajukan sektor pertanian dan penternakan.
Beliau berkata, isu kelewatan bekalan baja itu secara langsung memberikan imej buruk kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“KPKM mempunyai rekod prestasi yang baik. Jiwa pegawai-pegawai kementerian seperti Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha kementerian dan rakan-rakan lain ini jiwa yang kasih dan ingin membantu rakyat.
“Namun, disebabkan satu dua kerosakan ini memberi imej buruk kepada kita sebab itu kita tidak harus biarkan,” tegasnya.
Kerajaan Persekutuan katanya akan terus berusaha sedaya upaya memperkasa dan membantu golongan pesawah termasuk memajukan sektor pertanian dan penternakan.
Media sebelum ini melaporkan gesaan seorang wakil rakyat di Kedah agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan bayaran ganti rugi kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan pengagihan Baja Padi 3 di kawasan MADA.