
ISKANDAR PUTERI, 5 September – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) terus mempamerkan aksi konsisten apabila menewaskan wakil Brunei DPMM FC, 3-0 pada aksi Liga Super disini, pada Jumaat.
- Bergson Da Silva menggandakan jaringan, hampir hatrik namun gol dibatalkan VAR kerana ofsaid Jonathan Silva.
- Stoichkov masuk gantian dan menjaringkan gol ketiga menerusi rembatan leret pada minit ke-77.
- Xisco: perlawanan sukar, perlu hantaran tepat serta pergerakan terancang; pembantu jurulatih DPMM sifatkan kegagalan cipta peluang punca kekalahan.
Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Selatan itu meneruskan momentum kemenangan kepada empat perlawanan dengan mengutip 12 mata.
Pada perlawanan berkenaan, JDT berjaya membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi penyerang berbisa, Bergson Da Silva.
Bergson berjaya menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-40 selepas menyudahkan hantaran Arif Aiman bagi meletakkan tuan rumah berada 2-0 di hadapan.
Bergson kemudiannya hampir melengkapkan hatrik pada perlawanan berkenaan pada penghujung separuh masa pertama namun gol tersebut dibatalkan pengadil selepas VAR mengesan Jonathan Silva berada dalam kedudukan ofsaid ketika melakukan umpanan.
Bersambung babak kedua, JDT terus melakukan penguasaan permainan dan berjaya memperoleh gol ketiga menerusi pemain gantian, Stoichkov pada minit ke- 77 hasil rembatan leret.
Sementara itu, Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz menyifatkan perlawanan menentang DPMM FC sebagai perlawanan yang agak sukar memandang pasukan berkenaan mempunyai benteng pertahanan yang sukar ditembusi oleh para pemain JDT.
” Kami perlu membawa bola dari satu sudut ke satu sudut, kami perlu menunggu sedikit masa untuk melakukan pergerakan, untuk menyerang dalam ruang itu, dan kami perlu melakukan hantaran yang tepat, kerana ruang terhad untuk menyerang”, jelas beliau ketika ditemui selepas perlawanan.
Dalam pada itu, , Pembantu Ketua Jurulatih DPMM FC, Mohammad Helme menyifatkan kegagalan mencipta peluang oleh anak-anak buahnya menyebabkan pasukan berkenaan tewas mudah kepada JDT.
JDT kini mengungguli carta Liga Super dengan 12 mata, manakala DPMM FC ditangga kesembilan liga dengan tiga mata .