
KUALA LUMPUR, 6 September – Empat acara Para SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan hari ini susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Shah Alam dan Klang mencecah tahap tidak sihat.
- Keputusan ditangguhkan dibuat selepas mengambil kira nasihat agensi berkaitan dan pemantauan kualiti udara.
- Bacaan Indeks Pencemaran Udara setakat tengah hari menunjukkan 169, dinilai tahap tidak sihat.
- Acara terjejas: Para Olahraga, Para Renang, Para Memanah dan Boling Padang; pemakluman susulan akan dibuat mengikut keadaan IPU.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat agensi berkaitan serta pemantauan keadaan kualiti udara di kawasan pertandingan.
“Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Shah Alam dan Klang setakat pukul 12 tengah hari ini menunjukkan bacaan tidak sihat iaitu 169,” katanya menerusi kenyataan itu.
Menurutnya, keputusan berkenaan turut mengambil kira pemantauan berterusan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia serta jawatankuasa khas teknikal.
Empat acara yang terjejas ialah Para Olahraga di Stadium UiTM, Para Renang di Kompleks Akuatik Selangor, Para Memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) serta Boling Padang di Bayuemas, Klang.
Katanya, keputusan untuk menangguhkan acara berkenaan dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan atlet serta pegawai sepanjang pertandingan.
“Pemakluman mengenai penangguhan dan acara dijalankan semula akan dibuat dari masa ke semasa bergantung kepada keadaan IPU di kawasan pertandingan sedang berlangsung,” katanya lagi.
Saingan Para SUKMA Selangor 2026 bermula semalam, manakala beberapa acara seperti Powerlifting, Para Badminton, Boccia, Ping Pong dan Catur dijadualkan berlangsung pagi tadi.