
KUALA LUMPUR, 6 September – Skuad hoki remaja wanita kebangsaan mengalami kekalahan kedua berturut-turut pada kempen Piala Remaja Asia 2026 selepas dibelasah 1-11 oleh juara bertahan India dalam saingan kumpulan elit di Moqi, China hari ini.
- India unggul awal: Sahoo Puja sumbang penalti strok pada minit pertama, diikuti jaringan padang oleh Yadav Purnima tiga minit kemudian.
- India terus menggegar dengan gabungan penalti strok dan pukulan sudut penalti lewat separuh masa pertama dan kedua.
- Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi jaring gol saguhati pada minit ke-38 menerusi pukulan sudut penalti.
- Malaysia akan meneruskan saingan menentang Korea Selatan esok dan berdepan Jepun pada 9 September.
Pada aksi di Pusat Latihan Moqi, gawang skuad Young Tigress bocor seawal minit pertama menerusi Sahoo Puja yang menyempurnakan penalti strok sebelum Yadav Purnima menggandakan kedudukan India selepas menyumbat jaringan padang tiga minit kemudian.
Dhan Binima menambah derita skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan, disusuli jaringan padang oleh Sharma Krishna pada minit ke-14 manakala Purnima meledak jaringan kedua peribadi pada minit ke-17.
Kenduri gol India diteruskan apabila mereka berjaya memanfaatkan dua pukulan sudut penalti untuk melebarkan kedudukan masing-masing menerusi Sukhveer Kaur pada minit ke-21 dan Yadav Geeta pada minit ke-28 manakala Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi menjaringkan gol saguhati buat negara pada minit ke-38, juga menerusi situasi sama.
Puja sekali lagi cemerlang mengambil pukulan penalti strok untuk jaringan kedua peribadi dan kelapan India pada minit ke-42 dan momentum diteruskan dengan jaringan padang oleh Mane Sanika Chandrakant seminit kemudian.
India terus mengganas dengan gol kedua Geeta pada minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti dan Mane Sanika menoktahkan kemenangan besar selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-58.
Malaysia, yang tumpas 1-6 kepada tuan rumah China pada aksi pembukaan Jumaat lepas akan meneruskan saingan menentang Korea Selatan esok, diikuti pertemuan dengan Jepun pada 9 Sept ini.- BERNAMA