175 warga asing ditahan dalam Op Mahir di Ipoh

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia. Datuk Zakaria Shaaban / RTM

IPOH, 5 September – Seramai 175 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Mahir di tiga lokasi sekitar Bercham, di sini, selepas pemeriksaan terhadap 305 pekerja dilakukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
  • Antaranya bekerja tanpa dokumen atau permit yang sah.
  • Ada pekerja yang memiliki permit tetapi bukan untuk syarikat tempat mereka bekerja.
  • Operasi menyasarkan kilang papan, kilang sarung tangan dan medan selera; majoriti warga Bangladesh, juga Myanmar dan Vietnam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata antara kesalahan dikesan ialah bekerja tanpa dokumen atau pas yang sah, selain memiliki pas yang tidak sepadan dengan syarikat tempat mereka bekerja.

“Kesalahan pertama ialah tanpa dokumen, tanpa permit yang sah mereka melakukan pekerjaan dan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Selain itu, ada juga yang mempunyai permit tetapi permitnya bukan untuk syarikat tempat mereka bekerja,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan di Bercham, di sini.

Operasi pada Jumaat yang bermula kira-kira 7 malam itu menyasarkan tiga lokasi iaitu sebuah kilang papan, kilang sarung tangan dan medan selera di sekitar Bercham.

Daripada jumlah yang ditahan, majoritinya merupakan warga Bangladesh, selain warga Myanmar dan Vietnam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.