
KUANTAN, 4 September – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan asas dalam memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan pengurusan institusi berkenaan.
- Pendedahan laporan memberi gambaran sebenar berdasarkan fakta dan mengurangkan spekulasi.
- Hasil RCI perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit untuk memulihkan dan mengekalkan keyakinan pendeposit.
- Tindakan SPRM terhadap individu terlibat memberi keyakinan bahawa pihak berkuasa serius memastikan tadbir urus telus.
- Kelemahan dan ketirisan mesti ditangani secara menyeluruh bagi memelihara amanah dana pendeposit.
Pensyarah Kulliyyah Usuluddin dan Pembangunan Insan, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS), Ainuddin Kamaruddin berpandangan, pendedahan laporan itu penting supaya masyarakat mendapat gambaran sebenar berdasarkan fakta dan dapatan siasatan, sekali gus mengelakkan spekulasi.
Beliau juga menyokong hasil laporan RCI diterjemahkan kepada tindakan sewajarnya bagi memulihkan dan mengekalkan keyakinan kira-kira 9.8 juta pendeposit Tabung Haji.
“Apa yang kita lihat dalam beberapa hari kebelakangan ini, tindakan SPRM menahan reman beberapa individu bagi membantu siasatan, termasuk menjalankan soal siasat secara terperinci, memberikan harapan dan keyakinan kepada masyarakat Islam.
Ia menunjukkan kerajaan dan pihak berkuasa serius dalam memastikan pengurusan serta tadbir urus Tabung Haji dilaksanakan secara telus dan berintegriti,” katanya kepada RTM ketika diminta mengulas perkembangan RCI berhubung Tabung Haji.
Ainuddin berkata, keyakinan pendeposit bukan hanya bergantung kepada agihan keuntungan tahunan, sebaliknya turut dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pengurusan.
Oleh itu, katanya, sebarang kelemahan atau ketirisan perlu ditangani secara menyeluruh bagi memastikan perkara sama tidak berulang, selain memelihara amanah dana pendeposit.