SUKIPT 2026: UiTM tamat penantian 14 tahun, rangkul emas sepak takraw

Jurulatih sepak takraw UiTM, Khairolnafiz Kahamarudin/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 September – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menamatkan penantian 14 tahun untuk kembali meraih pingat emas acara sepak takraw kategori regu pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, selepas menewaskan UPM A 2-1 pada aksi final, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • UiTM B tewas 10-15 pada set pertama, kemudian bangkit menang dua set berikutnya 15-12 dan 15-12.
  • Jurulatih Khairolnafiz berkata kejayaan itu amat bermakna dan pemain menunjukkan semangat tinggi.
  • Pendaftaran seorang tekong yang tidak disenaraikan dalam VSL memberi impak positif kepada kekuatan regu B UiTM.

UiTM B tewas 10-15 pada set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya, masing-masing 15-12, sekali gus mengesahkan kejuaraan di Gelanggang Serbaguna Pusat Sukan Universiti Malaya (UM).

Jurulatih sepak takraw UiTM, Khairolnafiz Kahamarudin, berkata kejayaan itu amat bermakna selepas pasukan berkenaan kali terakhir meraih emas pada edisi 2012.

“2026 ini kita dapat kembali pingat emas. Pemain-pemain menunjukkan semangat. Dalam taklimat saya pun, saya maklumkan kena tunjuk sebab kali terakhir kita dapat pada 2012. Inilah masanya kita nak tunjuk dan dapat pingat emas selepas berapa tahun,” katanya kepada pemberita.

Menurut Khairolnafiz, keputusan mendaftarkan seorang tekong yang sebelum ini tidak disenaraikan dalam saingan Varsity Sepak Takraw League (VSL) turut memberi impak positif kepada kekuatan regu B UiTM.

“Tekong ini memang daripada awal saya tak pernah masukkan. Sebelum SUKIPT ini kita ada VSL 1 dan VSL 2, kita tak pernah daftarkan dia. Untuk SUKIPT ini saya daftarkan dia dan mungkin dengan kemasukan dia itu membantu pasukan regu B UiTM untuk capai kemenangan pada hari ini,”katanya.

Bagi tekong UiTM, Muhammad Faliq Abdul Latif, kejayaan itu menjadi penebus kekecewaan selepas mengalami kekalahan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemenangan hari ini. Saya bangkit daripada kekalahan SUKMA sebelum ini, jadi saya tebus di sini,” katanya.

Muhammad Faliq berkata beliau akan mempertingkatkan latihan bersama regunya bagi memastikan gandingan mereka lebih mantap menjelang saingan akan datang.

Kejayaan itu turut menyuntik semangat buat UiTM menjelang perlawanan akhir VSL yang dijadual berlangsung bulan ini.

UiTM B membawa pulang pingat emas, manakala UPM A meraih perak dan UM A gangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.