
KUALA LUMPUR, 1 September – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menguasai gelaran raja dan ratu pecut Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, selepas Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Fatin Ilyana Mat Nayan masing-masing menjuarai acara 100 meter (m) lelaki dan wanita di Arena Universiti Malaya (UM), hari ini.
- Danish Iftikhar memecah rekod temasya sekali lagi, memperbaiki masa final kepada 10.36 saat.
- Fatin Ilyana mencatat rekod peribadi 11.93s selepas empat tahun pulih dari kecederaan hamstring dan retakan kecil.
- Airiel Iskandar Rusli raih perak 10.63s dan Ahmad Amir Aiman Kamaruddin membawa pulang gangsa 10.65s bagi acara lelaki 100m.
- Danish fokus pada 200m dan cabaran negara di Oman untuk 100m serta 4x100m; Fatin sasar bawah 11.90s di Grand Prix Muscat.
Lebih manis, kemenangan itu hadir dengan pencapaian istimewa apabila Danish Iftikhar memecahkan rekod temasya buat kali kedua, manakala Fatin Ilyana mencatat rekod peribadi terbaik (PB) selepas empat tahun menanti.
Danish Iftikhar yang terlebih dahulu memperbaharui rekod temasya pada saringan semalam dengan catatan 10.44 saat (s), sekali lagi memperbaikinya pada final dengan masa 10.36s untuk meraih pingat emas.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana pada penampilan terakhir saya di SUKIPT ini, saya berjaya memecahkan rekod sekali lagi. Selepas memperbaharui rekod pada saringan, saya dapat memperbaikinya pada final. Saya sangat gembira dapat menguruskan larian 100 meter dengan baik,” katanya.
Pingat perak menjadi milik Airiel Iskandar Rusli dari Politeknik Malaysia dengan catatan 10.63s, manakala Ahmad Amir Aiman Kamaruddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih gangsa dengan 10.65s.
Dalam saingan wanita, Fatin Ilyana merekodkan 11.93s untuk emas, sekali gus memperbaiki catatan PB lamanya iaitu 11.96s yang dilakukan pada 2022.
Pencapaian itu cukup bermakna buat Fatin Ilyana selepas melalui tempoh sukar akibat beberapa siri kecederaan, termasuk masalah hamstring dan retakan kecil yang menjejaskan momentumnya untuk kembali berlatih.
“Saya sangat bersyukur kerana sudah lama menanti untuk mencatat PB. Kali terakhir saya melakukannya pada 2022 sebelum mengalami kecederaan. Jadi, selepas empat tahun, akhirnya saya berjaya melakukannya semula dan itu memang yang saya inginkan selama ini,” katanya.
Dua lagi pelari UPSI, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Nur Izzati Eliana Suhaidi, masing-masing meraih perak dan gangsa dengan catatan 12.13s dan 12.23s.
Danish Iftikhar selepas ini memberi tumpuan kepada acara 200m sebelum membawa cabaran negara di Oman dalam acara 100m dan 4x100m sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Fatin Ilyana pula bakal beraksi di Grand Prix Muscat dalam acara 100m dan 4x100m, dengan sasaran baharu untuk merekodkan masa bawah 11.90s.