
DUNGUN, 31 Ogos – Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu memeriksa sebanyak 4,884 warga asing menerusi 334 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri dari Januari hingga 15 Ogos.
- 1,257 pendatang tanpa izin ditahan; 522 tanpa dokumen, 317 tinggal lebih masa, 372 salah guna pas, 46 kes lain.
- 207 kertas siasatan dibuka dan kompaun sebanyak RM2.887 juta dikutip sepanjang tempoh.
- 727 individu didakwa, termasuk 707 pendatang tanpa izin dan 20 majikan; denda direkodkan RM602,000.
Pengarahnya Mohd Yusri Mohd Nor berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,257 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dengan 522 daripadanya tidak memiliki dokumen atau permit yang sah, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi menyasarkan kawasan berisiko seperti tapak pembinaan, rumah kediaman yang menggaji warga asing, premis perniagaan, kawasan perladangan dan perumahan.
“Operasi dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohd Yusri berkata sebanyak 317 lagi ditahan kerana tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(4) akta sama manakala 372 ditahan kerana salah guna pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen dan 46 atas pelbagai kesalahan lain.
Selain itu, beliau berkata JIM Terengganu membuka 207 kertas siasatan berkaitan kesalahan imigresen sepanjang tempoh tersebut manakala kompaun berjumlah RM2.887 juta dikutip.
Sebanyak 727 individu telah didakwa di mahkamah terdiri daripada 707 pendatang tanpa izin dan 20 majikan yang mengambil atau melindungi pendatang asing tanpa izin, dengan denda berjumlah RM602,000 direkodkan setakat ini.
Sementara itu, Mohd Yusri memaklumkan, operasi bersepadu di Bukit Besi, dekat sini pada 11 Ogos telah memeriksa 99 warga asing dengan 49 daripadanya ditahan terdiri daripada 24 rakyat Bangladesh, Indonesia (17), Myanmar (tujuh) dan seorang India.- BERNAMA