
KLEBANG, 30 Ogos – Kedudukan strategik Melaka yang mempunyai akses kepada kemudahan penerbangan dan maritim menjadikan negeri itu berpotensi sebagai lokasi alternatif Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) sekiranya Langkawi tidak lagi sesuai pada masa hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
- Cadangan perlukan penilaian kesiapsiagaan infrastruktur dan pelaburan besar terlebih dahulu.
- Klebang dekat Batu Berendam; keupayaan dermaga membolehkan kapal laut menjadi faktor alternatif.
- Melaka lebih mudah diakses rakyat berbanding Langkawi, meningkatkan peluang penyertaan awam.
- Kerajaan negeri sedia menjadi tuan rumah, tetapi manfaat dan kemampuan perlu dinilai serta dibincangkan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata bagaimanapun, cadangan itu perlu diteliti terlebih dahulu, khususnya dari segi kesiapsiagaan infrastruktur berkaitan serta keperluan pelaburan yang besar bagi memastikan penganjuran pameran bertaraf antarabangsa itu dapat dilaksanakan dengan baik.
“Kalau dilihat Klebang ini pun tidak jauh daripada Batu Berendam dan apabila kapal-kapal laut boleh berada di sini, ia sebenarnya satu tempat yang boleh menjadi alternatif kepada Langkawi.
“Di Langkawi, tidak ramai rakyat boleh pergi, tetapi kalau di Melaka, seluruh rakyat boleh datang dan ia satu perkara yang boleh kita terokai.
“Namun, seperti kata Datuk Rauf, ia memerlukan pelaburan yang sangat besar,” katanya demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Melaka 2026 bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran 1Malaysia, disini.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran pameran berkenaan, namun kemampuan Melaka serta manfaat yang bakal diperoleh perlu dinilai terlebih dahulu.
“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk mengendalikan (LIMA), tetapi kita kena lihat juga kemampuan. Perkara ini boleh dibincangkan di peringkat kerajaan Persekutuan nanti.
“Sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada Persekutuan dan negeri, kenapa tidak kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.