
KANGAR, 30 Ogos – Tiga teras utama perlu menjadi fokus Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam menghadapi cabaran serta mencorak masa hadapan di sebalik landskap dunia hari ini.
- MARA perlu meneroka dan memanfaatkan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan, untuk meningkatkan kecekapan, kreativiti dan penyelesaian masalah.
- MARA perlu memperkasa keusahawanan dengan melahirkan usahawan inovatif, berdaya tahan dan berani menembusi pasaran antarabangsa.
- MARA perlu melahirkan pemimpin berani, pantas membuat keputusan dan berfikiran strategik sebagai pencetus transformasi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, warga kerja MARA perlu berani meneroka dan memanfaatkan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah.
Baginda bertitah bidang keusahawanan perlu terus diperkasa dengan melahirkan usahawan yang inovatif, berdaya tahan dan berani menembusi pasaran antarabangsa dengan mewujudkan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu bersaing dan berdiri gah di pentas dunia.
Teras ketiga ialah MARA perlu melahirkan warga kerja yang berani memimpin, pantas membuat keputusan dan berfikiran strategik iaitu pemimpin masa hadapan bukan sekadar mengikut perubahan, tetapi tampil sebagai pencetus dan penggerak transformasi.
Baginda bertitah ketika merasmikan Sukan MARA SeMalaysia (SUKMAS) Ke-11 di Dewan 2020, Kangar.
Kejohanan SUKMAS Ke-11 berlangsung mulai 30 Ogos hingga 3 September melibatkan penyertaan 3,000 peserta mewakili 14 kontinjen dengan 15 jenis sukan dipertandingkan di 17 lokasi pertandingan seluruh Perlis.
SUKMAS membawa makna lebih besar daripada pingat dan kemenangan, ia menyatukan, membina disiplin dan menyemai semangat kesukanan serta menjadi platform untuk menyatukan warga MARA, memperkukuh ukhuwah, membina disiplin dan menyemai semangat kesukanan.