
LANGKAWI, 28 Ogos – Selepas hampir 33 tahun, legenda bola sepak Kedah dan Singapura bakal kembali bertemu di Langkawi, Sabtu ini, bagi menghidupkan semula nostalgia perlawanan akhir Piala Malaysia 1993.
- Piala Merdeka Langkawi Nostalgia 1993 menghimpunkan semula majoriti pemain final 1993, termasuk Faridzuan Che Hamid dan Fandi Ahmad.
- Faridzuan berkata hampir 95 peratus pemain daripada kedua-dua pasukan dijangka kembali beraksi.
- Kejohanan sempena Hari Kebangsaan ke-69 di Stadium Kompleks Sukan LADA bertujuan menghidupkan nostalgia serta mengeratkan hubungan penyokong.
Pertemuan menerusi Piala Merdeka Langkawi Nostalgia 1993 itu akan menghimpunkan semula sebahagian besar pemain yang beraksi dalam perlawanan bersejarah berkenaan, yang menyaksikan Kedah muncul juara selepas menewaskan Singapura 2-0 pada 28 November 1993.
Dua gol kemenangan Kedah ketika itu dijaringkan Radhi Mat Din dan Lee Kin Hong, sekali gus mengukir kenangan manis yang kekal dalam ingatan penyokong Hijau Kuning.
Antara legenda Kedah yang bakal kembali beraksi ialah Faridzuan Che Hamid, manakala Singapura pula menampilkan ikon bola sepak negara itu, Fandi Ahmad.
Faridzuan berkata, hampir 95 peratus pemain daripada kedua-dua pasukan yang beraksi pada 1993 dijangka kembali beraksi dalam pertemuan nostalgia itu.
“Singapura boleh dikatakan (akan menurunkan) 95 peratus pemain yang sama pada malam esok. Kedah juga 95 peratus sama,” katanya.
Fandi pula berkata, perlawanan itu menjadi peluang untuk mereka menghiburkan peminat selain mengimbau kembali kenangan 33 tahun lalu.
“Kami cuba memberikan persembahan yang terbaik buat peminat dan saya percaya kami boleh, walaupun pada usia sebegini, kami akan cuba membawa kembali kenangan 33 tahun dahulu,” katanya.
Kedua-dua legenda itu ditemui pada sidang media sempena Piala Merdeka Langkawi Nostalgia 1993 di di sini, hari ini.
Pertemuan itu bukan sekadar perlawanan persahabatan, sebaliknya menjadi platform untuk menghidupkan semula kenangan era kegemilangan bola sepak Kedah dan Singapura, selain mengeratkan kembali hubungan antara pemain serta penyokong kedua-dua pasukan.
Piala Merdeka Langkawi Nostalgia 1993 dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan dijadual berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), esok.
Selain Faridzuan dan Fandi, perlawanan itu turut menghimpunkan sejumlah legenda kedua-dua pasukan yang pernah mencipta sejarah pada era 1990-an.
Penaung Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) merangkap penganjur kejohanan, Datuk Zuraidi Rahim berkata, penganjuran itu bertujuan mengembalikan nostalgia serta semangat bola sepak yang pernah menyatukan rakyat.
Sementara itu, perlawanan persahabatan antara pasukan pilihan Langkawi dan skuad legenda Kedah 1993 akan berlangsung pada Khamis, sebagai sebahagian daripada program sempena kejohanan berkenaan.
Kejohanan itu dijangka menjadi pentas istimewa buat peminat untuk bertemu semula dengan barisan legenda yang pernah mencipta sejarah dalam bola sepak Malaysia dan Singapura lebih tiga dekad lalu.