
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan proses kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), selain menjelaskan pendiriannya mengenai masa depan kariernya.
- Proses kelayakan LA28: dua musim, setiap musim satu Kejohanan Dunia, satu Kejohanan Benua, tiga Piala Dunia; 8 pasukan, 30 pelumba individu.
- Memohon pengesahan KBS dan MSN sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya untuk LA28 agar beliau boleh merancang latihan, keluarga dan penaja.
- Sanggup bergerak profesional tanpa geran, cadang latihan hibrid Melbourne-Malaysia, dan perjanjian hitam putih lindungi hak mata kelayakan atlet.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya hari ini, beliau antara lain memperincikan persoalan sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi misi ke LA28, selain meminta jawapan konkrit daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
“Situasi sekarang sebenarnya bukan soal saya ingin meneruskan kayuhan ke LA28 ataupun tidak, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmat saya untuk ke LA28,” katanya menerusi kenyataan tersebut.
Beliau berkata kepastian itu penting bagi membolehkannya membuat perancangan terperinci berkaitan latihan, pertandingan, selain komitmen bersama keluarga dan penaja.
Mengenai proses kelayakan LA28, Azizulhasni berkata, pelumba perlu melalui proses selama dua musim yang merangkumi satu Kejohanan Dunia, satu Kejohanan Benua dan tiga Piala Dunia pada setiap musim.
Pelumba berusia 38 tahun itu berkata, bagi acara pecut berpasukan, hanya lapan pasukan terbaik dunia akan layak, manakala bagi acara individu keirin dan sprint, hanya 30 pelumba terbaik dunia akan dipilih.
“Untuk acara individu pula, hanya 30 pelumba terbaik dunia akan diambil untuk Keirin dan Sprint,” katanya.
Beliau berkata dirinya kini berada di ranking ke-14 dunia selepas kembali daripada persaraan dan percaya masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan sekiranya konsisten dalam tempoh dua musim akan datang.
Dalam pada itu, Azizulhasni menegaskan wang bukan tuntutan utamanya kerana beliau sanggup mendapatkan sokongan swasta dan bergerak secara profesional sekiranya diperlukan, dengan keutamaan diberikan kepada sistem sokongan yang mampu memastikan persiapan dan pemulihannya berada pada tahap terbaik.
“Jika untuk mempermudahkan keadaan, saya sendiri bersedia untuk bergerak secara profesional sepenuhnya tanpa menerima geran daripada pihak KBS dan MSN. Dana tersebut boleh disalurkan kepada pelumba-pelumba lain,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan latihan secara hibrid dengan membahagikan masa antara Melbourne dan Malaysia, bergantung kepada jadual latihan, pertandingan serta komitmen penaja.
Dalam masa sama, Azizulhasni mahu diwujudkan perjanjian dan hitam putih berkaitan hak atlet terhadap mata kelayakan yang dikumpul bagi mengelakkan keadaan atlet hanya digunakan untuk mengumpul mata sebelum nasib mereka berubah pada kemudian hari.
Justeru, beliau berkata penjelasan sembilan muka surat itu merupakan usahanya menjawab segala persoalan yang selama ini bermain di fikirannya, selain mahu KBS dan MSN memberikan jawapan jelas mengenai kedudukannya dalam misi Malaysia ke LA28. – BERNAMA