SUKIPT 2026 platform kenal pasti atlet ke AUG

Ahmad Rizal Adnan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 antara platform penting Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengenal pasti atlet dalam kalangan mahasiswa yang berpotensi bagi mewakili negara pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • SUKIPT 2026 memberi peluang atlet institusi tinggi membuktikan kemampuan sebelum diketengahkan ke pentas ASEAN.
  • Perasmian Perkampungan Sukan oleh Ahmad Rizal Adnan di Las Palmas Canseleri, Universiti Malaya.
  • SUKIPT menghimpunkan 8,244 atlet, 64 kontinjen dan 30 jenis sukan sehingga 6 September.
  • Kehadiran atlet berprofil tinggi seperti Danish Iftikhar, Nani Sahirah, Aniq Kasdan dan Muhammad Dhuha tingkatkan tahap persaingan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Ahmad Rizal Adnan berkata, SUKIPT memberi peluang kepada atlet institusi pendidikan tinggi untuk membuktikan kemampuan masing-masing sebelum diketengahkan ke pentas ASEAN.

Peluang itu lebih signifikan tahun ini susulan Malaysia bakal menjadi tuan rumah AUG 2026 yang dijadual berlangsung pada Disember.

“SUKIPT ini merupakan satu platform untuk kita mengenal pasti atlet-atlet yang berpotensi untuk kita ketengahkan bagi edisi AUG 2026 yang akan kita adakan pada tahun ini, pada Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 di Las Palmas Canseleri, Universiti Malaya (UM), di ibu negara, hari ini.

SUKIPT 2026 yang berlangsung sehingga 6 September menghimpunkan 8,244 atlet daripada 64 kontinjen dengan 30 jenis sukan dipertandingkan.

Kehadiran barisan atlet berprofil tinggi turut menjadikan SUKIPT tahun ini medan penting untuk mengukur prestasi dan daya saing atlet mahasiswa.

Antara yang mencuri perhatian ialah pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selepas mempertahankan emas acara 100 meter lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, yang juga mengulangi kejayaan pada SUKMA Sarawak 2024.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mempertaruhkan atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata, yang mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa termasuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 selain memegang rekod kebangsaan.

Juara keseluruhan edisi lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), turut dijangka tampil dengan misi mempertahankan kejuaraan, dengan atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan yang merupakan antara sandaran utama kontinjen itu.

Sementara itu, tuan rumah UM mengharapkan prestasi perenang Muhammad Dhuha Zulfikry yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas memenangi lima pingat emas ketika mewakili Wilayah Persekutuan pada SUKMA Selangor.

Dengan himpunan atlet berpengalaman dan bakat baharu, SUKIPT 2026 bukan sahaja menjadi pentas perebutan kejuaraan antara institusi, malah ruang penting untuk KPT menilai potensi atlet yang mampu membawa cabaran negara di AUG dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.