
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Perkampungan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bukan sekadar menyediakan kemudahan penginapan dan logistik kepada atlet, malah menjadi platform membina kebersamaan serta persahabatan dalam kalangan peserta.
- Timbalan Ketua Setiausaha KPT Ahmad Rizal tekankan semangat persahabatan dan persaingan sihat sebagai nilai utama sepanjang temasya.
- SUKIPT menghimpunkan 64 kontinjen dan 8,244 atlet, memberi ruang pengalaman dan jaringan menerusi aktiviti sukan.
- Fokus bukan semata-mata pingat, tetapi membina semangat kesukanan dan persaingan yang sihat di kalangan mahasiswa.
- Penginapan, kemudahan pertandingan dan keperluan atlet disediakan; penganjuran di Sabah dan Sarawak kembangkan peluang untuk mahasiswa Malaysia Timur.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan berkata, semangat persahabatan dan persaingan secara sihat menjadi antara nilai yang mahu diterapkan sepanjang temasya berlangsung.
SUKIPT menghimpunkan 64 kontinjen dan 8,244 atlet bukan hanya mengenai perebutan pingat, sebaliknya memberi ruang kepada mahasiswa membina pengalaman serta hubungan menerusi sukan.
“Apabila bercakap mengenai sukan, kita bukan hanya melihat kepada jumlah kemenangan atau pingat yang dikumpulkan. Sebaliknya, kita mahu membina semangat kesukanan dan persaingan yang sihat. Itulah nilai yang kita harapkan dapat lahir melalui sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 di Las Palmas Canseleri, Universiti Malaya (UM), di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, persiapan dari segi penginapan, kemudahan pertandingan dan keperluan atlet telah disediakan bagi memastikan kelancaran SUKIPT 2026.
KPT turut memperluas pembangunan sukan IPT menerusi penganjuran kejohanan di Sabah dan Sarawak bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa di Malaysia Timur untuk menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi.
SUKIPT 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini, mempertandingkan 30 jenis sukan dengan Universiti Malaya (UM) sebagai tuan rumah.