
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pelantikan semula dua bekas pemain kebangsaan, Teo Kok Siang dan Wong Pei Tty ke dalam barisan kejurulatihan skuad negara berkuat kuasa 1 September ini.
- Kok Siang galas tugas jurulatih beregu campuran; Pei Tty memperkuat beregu wanita.
- Kedua-duanya membawa pengalaman dan pengetahuan mendalam mengenai program kebangsaan selepas pernah bersama barisan kejurulatihan BAM.
- Pengumuman Ketua Jurulatih beregu campuran dijangka dibuat tidak lama lagi; pelantikan dijangka menyuntik semangat menjelang kejohanan utama.
Menerusi kenyataan rasmi badan induk itu, Kok Siang akan menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih beregu campuran, manakala Pei Tty akan memperkuat beregu wanita.
Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan BAM dalam memperkukuh struktur kejurulatihan sedia ada, sekali gus memacu prestasi pemain di pentas antarabangsa.
“Kembalinya kedua-dua jurulatih ini membawa pengalaman berharga serta pengetahuan mendalam mengenai program kebangsaan memandangkan mereka pernah bersama barisan kejurulatihan BAM sebelum ini,” jelas kenyataan tersebut.
Kok Siang sebelum ini memiliki rekod perkhidmatan selama lima tahun dalam program beregu remaja dan senior BAM sebelum berkelana pada 2022.

Manakala Pei Tty, bekas pemain nombor satu dunia dan Olympian (Athens 2004 & Beijing 2008), bukan nama asing dalam skuad kebangsaan apabila pernah melatih sektor beregu wanita sebelum meninggalkan badan induk itu pada 2020.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky memberi bayangan BAM akan mengumumkan identiti Ketua Jurulatih beregu campuran dalam masa terdekat.
“Namanya sudah ada (ketua jurulatih beregu campuran). Nanti BAM akan membuat pengumuman,” jelas Rexy ringkas.
Pelantikan ini dijangka mampu menyuntik semangat baharu dalam kem latihan kebangsaan menjelang kejohanan utama akan datang.