
JEDDAH, 27 Ogos – Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya menolak dan tidak memberikan sokongan kepada skim penempatan haram Israel bernilai AS$2.3 bilion di wilayah Palestin yang diduduki.
- Malaysia menggesa OIC menegakkan Pendapat Nasihat ICJ 19 Julai 2024 dan menolak serta tidak menyokong pendudukan haram Israel.
- Mengutuk peluasan penempatan di Tebing Barat termasuk rancangan E1 yang bertujuan menjejaskan kebolehlaksanaan negara Palestin.
- Gaza kini musnah, keluarga berpecah dan lebih 70,000 nyawa terkorban; desak gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan tanpa halangan.
- Sokong perlindungan Al-Quds Ash-Sharif, pengiktirafan penjagaan Hashemite, dan gesa Majlis Keselamatan PBB laksana undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara anggota OIC perlu berpendirian tegas dalam menegakkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024 dengan menolak serta tidak menyokong pendudukan haram berkenaan.
Beliau berkata, peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, serta rancangan yang dikenali sebagai E1, bertujuan menjejaskan secara kekal kebolehlaksanaan penubuhan sebuah negara Palestin.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya skim penempatan haram rejim Israel bernilai AS$2.3 bilion dan menggesa semua negara anggota OIC untuk dengan tegas menegakkan Pendapat Nasihat ICJ pada 19 Julai 2024 dengan menolak dan tidak memberikan sokongan kepada pendudukan haram ini,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM), OIC, yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, semalam.
Datuk Seri Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah, Arab Saudi, semalam.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menegaskan bahawa Gaza kini musnah, keluarga berpecah dan lebih 70,000 nyawa tidak berdosa telah terkorban.
Katanya, masyarakat antarabangsa sudah hampir tiga tahun menggesa perlindungan orang awam, akses kemanusiaan serta gencatan senjata berkekalan, namun Israel terus melakukan pengeboman terhadap rumah, hospital dan sekolah selain menyekat bantuan kemanusiaan.
“Penjajahan moden ini mesti dihentikan,” katanya.
Beliau turut menggesa OIC supaya terus menyeru masyarakat antarabangsa menghentikan tindakan Israel melalui gencatan senjata segera dan kekal, selain memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.
Beliau berkata Israel juga mesti menghentikan keganasan peneroka di Tebing Barat, pengusiran haram rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta sebarang tindakan yang boleh mengubah identiti Baitulmaqdis termasuk tapak suci.
Mengenai Al-Quds Ash-Sharif, Datuk Seri Mohamad berkata Malaysia mengutuk pencerobohan ke dalam kompleks Masjid Al-Aqsa pada 23 Julai 2026 oleh menteri Israel, peneroka dan kelompok ekstremis berhaluan kanan.
“Malaysia menggesa semua negara anggota untuk beriltizam melindungi kesucian Al-Quds Ash-Sharif dan memberikan sokongan penuh kepada penjagaan Hashemite yang bersejarah terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis,” katanya.
Beliau turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya menguatkuasakan undang-undang antarabangsa berhubung rampasan Pusat Latihan Kalandia milik Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), selain melindungi mandat agensi itu.
Dalam pada itu, Malaysia menggesa negara anggota OIC memperkukuh sokongan terhadap perlindungan, pembinaan semula dan pengukuhan institusi Palestin bagi membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaya maju.
Beliau menegaskan penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya laluan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan berdaya maju ke arah keamanan berkekalan.
“Malaysia berdiri teguh dan tanpa berbelah bahagi di belakang penubuhan sebuah negara Palestin yang benar-benar merdeka, berdaulat, berdaya maju dan berkesinambungan berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
“Ini bukan sekadar keutamaan diplomatik, sebaliknya satu keperluan asas,” katanya.
Datuk Seri Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC membincangkan perkembangan terkini di Palestin dan Al-Quds Ash-Sharif, dalam lawatan kerja dua hari sehingga semalam di Jeddah, Arab Saudi.