
JASIN, 18 September – Kos projek pembinaan yang melebihi standard ditetapkan perlu disertakan justifikasi yang munasabah dan dikaji semula sekiranya alasan diberikan tidak memuaskan.
- Memastikan prinsip tadbir urus kewangan, ketelusan dan akauntabiliti dipatuhi dalam setiap projek pembinaan.
- Setiap projek mesti mematuhi amalan pengurusan nilai (Value Assessment) dan spesifikasi ditetapkan untuk mengawal kos.
- JKR sebagai agensi teknikal perlu meneliti perbezaan kos dan mendapatkan penjelasan serta maklumat lanjut mengenai faktor penyebab.
- Kos projek mesti berasaskan spesifikasi dan penanda aras jelas bagi mengelakkan peningkatan kos tanpa justifikasi munasabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan sedemikian bagi memastikan prinsip tadbir urus kewangan, ketelusan, dan akauntabiliti dipatuhi sepenuhnya.
Katanya, setiap projek perlu mematuhi prinsip pengurusan nilai atau ‘Value Assessment’ yang ditetapkan bagi memastikan kos projek bersesuaian dengan spesifikasi ditetapkan.
Sebarang perbezaan kos daripada kadar standard perlu diteliti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal negara, termasuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai faktor yang menyebabkan peningkatan kos.
“Oleh itu, kita berharap agar kos yang ditetapkan bagi setiap projek adalah berdasarkan spesifikasi dan standard yang ditetapkan. Sebagai contoh, jika kos pembinaan satu kilometer jalan adalah RM10 juta, maka kadar tersebut boleh dijadikan sebagai penanda aras.
“Sekiranya kos bagi projek yang sama meningkat kepada jumlah yang jauh berbeza, saya menasihatkan Kementerian Kerja Raya, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi teknikal negara, supaya mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut mengenai faktor yang menyebabkan perbezaan kos tersebut,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya Daerah Jasin.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, JKR bukan sahaja melaksanakan projek bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), sebaliknya turut menjadi agensi pelaksana bagi projek kementerian pengguna lain.
Justeru, semua projek pembinaan perlu memastikan kos yang ditetapkan mematuhi pengurusan nilai bagi mengelakkan perbezaan kos tanpa justifikasi yang munasabah.