Noraqilah optimis mampu beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 September – Kecederaan buku lali kaki kiri yang dialami pemain beregu wanita negara Noraqilah Maisarah Ramdan dikhuatiri menjejaskan penampilan sulungnya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bakal membuka tirainya esok (Sabtu).

RINGKASAN BERITA AI
  • Noraqilah enggan mengalah dan berharap dapat beraksi dengan Low Zi Yu jika mendapat lampu hijau pasukan perubatan.
  • Kecederaan berlaku semasa latihan dan mengehadkan persiapan menjelang temasya.
  • Fokus kini pada pemulihan, meminimumkan pergerakan dalam gelanggang dan keadaan semakin baik.
  • Keputusan sama ada beraksi ditentukan selepas penilaian kecergasan akhir di venue; jurulatih nasihat jangan paksa jika tidak mampu.

Bagaimanapun, pemain muda itu enggan mengibarkan bendera putih lebih awal dan masih menyimpan harapan untuk beraksi bersama gandingannya Low Zi Yu sekiranya mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan.

Noraqilah berkata kecederaan berkenaan dialami ketika menjalani sesi latihan pada petang Khamis minggu lalu, sekali gus mengehadkan persiapannya menjelang temasya berkenaan.

“Keadaan saya sekarang semakin baik berbanding hari pertama mengalami kecederaan.

“Cuma buat masa ini saya banyak fokus kepada proses pemulihan dan meminimumkan pergerakan di dalam gelanggang.

“Doktor dan jurulatih menasihatkan supaya saya pergi ke sana dahulu untuk menilai tahap kecergasan dan melihat keadaan sebenar sebelum membuat keputusan sama ada boleh beraksi atau tidak.

“Jurulatih ada beritahu, jika rasa tidak boleh bermain, lebih baik jangan paksa,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Jepun di Akademik Badminton (ABM), Bukit Kiara.

Beliau mengakui sedikit terkilan dengan kecederaan itu memandangkan Sukan Asia Aichi-Nagoya merupakan peluang penting untuk membuktikan kemampuan di pentas berprestij berkenaan

Bagaimanapun,beliau kekal positif dan bersedia memberikan yang terbaik sekiranya keadaan fizikalnya mengizinkan.

“Masa mula-mula tercedera hari itu memang rasa sedih sedikit, tetapi sekarang jalan semua sudah okey.

Status gandingan Noraqilah-Zi Yu sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya akan ditentukan selepas penilaian kecergasan terakhir dilakukan di venue pertandingan nanti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.