Kes Nur Qaira Alisha: KPM arah Unit Integriti ambil tindakan susulan

FB Datuk Seri Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Unit Integriti kementerian itu mengambil tindakan lanjut berhubung kes Allahyarhamah Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan, selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan keluarga Allahyarhamah.
  • KPM memandang serius setiap perkara berkaitan keselamatan dan kebajikan murid.
  • Keluarga diberi ruang dan sokongan sewajarnya; mendoakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan.
  • Ibu mendakwa anak diarah sertai sukan walaupun ada surat pengecualian; mangsa berpenyakit jantung kronik dan meninggal dunia akibat kegagalan jantung.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadlina Sidek menerusi kenyataan di facebooknya berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga allahyarhamah.

“Saya juga telah mengarahkan Unit Integriti untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.

Katanya, keutamaan KPM ketika ini adalah memastikan keluarga Allahyarhamah diberikan ruang serta sokongan yang sewajarnya dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

“Saya mengikuti dengan penuh rasa dukacita pemergian Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha binti Ahmad Ilwan.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga atas kehilangan yang amat berat ini,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar keluarga allahyarhamah diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar itu.

“Semoga keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.

Sebelum ini ,ibu mangsa meluahkan perasaan kesal kerana anaknya, Nur Qaira Alisha didakwa diarah menyertai sesi pemilihan rumah sukan oleh guru sekolah walau surat berkaitan penyakit anaknya sudah diberikan.

Mangsa menghidap masalah jantung kronik sejak berusia tiga bulan dan mempunyai surat pengesahan kesihatan untuk dikecualikan daripada sukan.

Mangsa kemudiannya dilaporkan jatuh sakit, terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen, dan disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Hospital Sultanah Bahiyah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.