55 koperasi Wilayah Persekutuan terima pengiktirafan MAGK’26

Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal

PETALING JAYA, 27 Ogos – Sebanyak 55 koperasi di Wilayah Persekutuan menerima pengiktirafan atas pencapaian prestasi cemerlang masing-masing merangkumi 50 koperasi terbaik, dua Koperasi Premier dan tiga penerima Anugerah Khas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Budayakan pengurusan risiko sebagai komponen utama untuk melindungi modal, aset dan kepentingan anggota dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
  • Pematuhan akta, peraturan dan amalan tadbir urus terbaik mesti dipatuhi bagi memastikan ekosistem koperasi selamat dan kepentingan anggota terpelihara.
  • Prestasi koperasi menunjukkan pertumbuhan positif; buat keputusan bijak dan berintegriti untuk kestabilan dan kesejahteraan generasi anggota akan datang.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, pengurusan risiko perlu dijadikan komponen utama dalam operasi koperasi bagi melindungi modal, aset dan kepentingan anggota ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Pematuhan kepada peruntukan akta dan peraturan haruslah tidak diabaikan bagi memastikan koperasi digerakkan ke ekosistem yang selamat, kepentingan anggota dan juga perniagaan itu terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan Tahun 2026 (MAGK’26) di sini, hari ini.

Koperasi juga digesa membudayakan pengurusan risiko sebagai komponen utama bagi melindungi modal, aset dan kepentingan anggota dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi.

Keberkesanan pengurusan risiko bergantung kepada keharmonian peranan Anggota Lembaga Koperasi, anggota dan pengurusan.

Sementara itu, prestasi keseluruhan koperasi di Wilayah Persekutuan pada 2025 menunjukkan pertumbuhan positif dengan jumlah perolehan meningkat 4.92 peratus kepada RM7.46 bilion berbanding RM7.11 bilion pada 2024.

Jumlah aset turut meningkat 9.82 peratus kepada RM24.65 bilion, manakala jumlah anggota bertambah 5.69 peratus kepada 2.51 juta orang.

Jumlah syer dan yuran meningkat 1.67 peratus kepada RM9.59 bilion, manakala bilangan koperasi bertambah 0.74 peratus kepada 1,223.

Penilaian koperasi dibuat berdasarkan faktor kewangan dan bukan kewangan, termasuk pematuhan perundangan, tadbir urus, sumbangan kepada anggota, pencapaian perolehan, pemilikan aset serta pengurusan kewangan mengikut amalan tadbir urus terbaik.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Norihan mengingatkan kepimpinan koperasi supaya tidak membelakangkan matlamat asal penubuhan koperasi meskipun perniagaan berkembang pesat, sebaliknya terus memberi keutamaan kepada kebajikan dan kepentingan anggota.

“Ingatlah bahawa setiap keputusan yang kita buat pada hari ini, sama ada dalam pengurusan harian, dalam pentadbiran koperasi mahupun menentukan hala tuju perniagaan, ia bakal memberi kesan dan menentukan nasib koperasi kita pada masa akan datang.

“Keputusan yang bijak dan berintegriti hari ini adalah warisan kepada kestabilan untuk generasi anggota yang akan datang,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.