KPT ambil langkah perlu, susulan arahan PM berhubung tindakan disiplin mahasiswa

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir/ BERNAMA

PEKAN, 27 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mengambil langkah perlu, susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang berkaitan peraturan universiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penekanan kepada peraturan perundangan dan kaedah universiti termasuk kebebasan mahasiswa mengurus akaun sendiri dan menyertai politik
  • Semua Naib Canselor telah mengadakan mesyuarat bersama ketua pengarah untuk penyelarasan tindakan susulan dan kenyataan mengenai perubahan akta universiti
  • Perdana Menteri mahu mahasiswa yang dikenakan tindakan disiplin kerana mengkritik dilepaskan, selaras pemansuhan AUKU; pengecualian untuk kes jenayah di bawah PDRM

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu termasuk memberi penekanan kepada perkara yang telah diputuskan di peringkat perundangan dan kaedah-kaedah universiti, khususnya membabitkan kebebasan mahasiswa termasuk menguruskan akaun sendiri dan memberi kebebasan menyertai politik.

Beliau berkata semua Naib Canselor universiti telah mengadakan mesyuarat bersama ketua pengarah bagi menyelaraskan tindakan susulan berhubung perkara itu.

“Ya, arahan itu telah pun… disiplin-disiplin yang berkaitan dengan yang ada kaitan dengan peraturan-peraturan universiti yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri dan kita telah pun mengambil langkah itu, termasuk juga beberapa kalau ada didapati kes-kes yang dilakukan kesalahan-kesalahan di peringkat HEP.

“Semalam Yang Amat Berhormat menyebut tentang hal-hal yang berkaitan dengan HEP. Maka langkah-langkah itu perlu diambil. Sebab itu pada hari ini, semua Naib Canselor telah pun mengadakan mesyuarat bersama dengan ketua pengarah.

“Kenyataan itu akan dikeluarkan, termasuk juga perkara-perkara yang telah pun diambil tindakan dari segi perubahan dalam akta universiti”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI (Zon Timur) Tahun 2026 yang menghimpunkan seramai 500 orang pensyarah dan pentadbir muda berusis 40 tahun ke bawah daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Mengenai sama ada perubahan itu turut melibatkan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), beliau berkata perkara berkenaan perlu diteliti kerana IPTS tertakluk kepada undang-undang berbeza, termasuk Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Namun, beliau berharap IPTS, khususnya institusi pendidikan milik atau berkaitan kerajaan negeri dapat bekerjasama dan melaksanakan perubahan yang sama.

Pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 13 semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua mahasiswa yang dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan kritikan terhadap beliau dan kerajaan dilepaskan daripada kesalahan berkaitan.

Langkah itu selaras dengan semangat pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah melepaskan mahasiswa daripada kesalahan itu perlu dilakukan segera kerana pindaan terhadap AUKU dijangka mengambil masa lebih lama. Namun, katanya, pembebasan daripada kesalahan itu tidak akan membabitkan kes di bawah undang-undang jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.