
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Sebanyak 24 lombong haram dikesan daripada 45 lokasi diperiksa menerusi Op Gali Mega di 10 negeri, dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah hampir RM119 juta.
- Operasi membanteras penerokaan mineral haram termasuk emas, arang batu, pasir dan kaolin.
- 19 hingga 23 Ogos, 99 individu ditahan: 61 rakyat Malaysia, selebihnya warga asing, umur 18 hingga 64.
- Rampasan hasil bumi dianggarkan hampir RM21 juta; kenderaan, jentera dan peralatan perlombongan disita bernilai puluhan juta.
- 32 individu dan 21 syarikat dikenal pasti, maklumat diserahkan kepada LHDN; sindiket dipercayai bawa pakar asing; siasatan diteruskan bersama JMG.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi berskala besar itu bertujuan membanteras kegiatan penerokaan mineral secara haram membabitkan emas, arang batu, pasir dan kaolin.
Operasi dari 19 hingga 23 Ogos itu turut membawa kepada penahanan 99 individu, terdiri daripada 61 rakyat Malaysia dan selebihnya warga asing, berusia antara 18 hingga 64 tahun.
“Hasil bumi yang dirampas keseluruhannya dianggarkan bernilai hampir RM21 juta. Ia melibatkan kaolin sebanyak 100 tan bernilai hampir RM60,000, arang batu sebanyak 8,500 tan bernilai RM4.2 juta, kuari batu atau tanah sebanyak 313,500 tan bernilai RM12 juta serta pasir sebanyak 9,100 tan bernilai RM4.5 juta.
“Selain itu, sebanyak 55 kenderaan dirampas dengan nilai keseluruhan hampir RM14.8 juta, manakala 87 jentera berat bernilai hampir RM38.7 juta turut disita.
“Rampasan lain membabitkan 194 unit pelbagai peralatan perlombongan yang dianggarkan bernilai hampir RM44.3 juta,” katanya dalam sidang media Op Gali Mega di Bukit Aman di ibu negara.
Polis turut mengesan seramai 32 individu dan 21 syarikat yang terlibat dalam aktiviti perlombongan tersebut. Senarai individu dan syarikat yang terlibat telah diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan siasatan bagi mengesan ketirisan cukai.
Sabah mencatatkan jumlah lokasi pemeriksaan tertinggi dengan 14 lokasi, diikuti Sarawak (tujuh), Pahang (enam), Selangor (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (tiga), Perak (tiga), Negeri Sembilan (dua), Kedah (dua) dan Johor (satu).
Pihak berkuasa masih menyiasat tempoh operasi lombong berkenaan serta kemungkinan terdapat kaitan antara aktiviti perlombongan di beberapa lokasi.
Sindiket dipercayai mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam industri perlombongan, termasuk mengenal pasti kawasan yang mempunyai sumber mineral, selain terdapat kemungkinan membawa masuk pakar dari luar negara, termasuk China.
Operasi bersepadu itu akan diteruskan dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta agensi penguat kuasa lain bagi membanteras aktiviti perlombongan haram.