
KULAI, 27 Ogos – Dua lelaki termasuk seorang pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
- Mohamad Riduan Abdul Ghani (26) dan Muhamad Aiman Izzuddin Sukri (25) didakwa menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Link Kedua.
- Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman penjara hingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
- Laluan dari km33 ke km31 susur JPO Linkedua didakwa ditutup untuk berlumba; sembilan lagi yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.
Kedua-dua tertuduh, yang bekerja sebagai mekanik, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Riduan Abdul Ghani, 26 tahun, dan Muhamad Aiman Izzuddin Sukri, 25 tahun, yang juga pemegang kad OKU, didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Link Kedua pada kira-kira 7 pagi, 22 Ogos lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam masing-masing, R.S. Amarpreet Singh dan Abdul Rahim Ali.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
5 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, sekumpulan individu dipercayai menutup jalan dari kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO) di Linkedua untuk berlumba dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata, sembilan lagi individu yang ditahan reman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan semalam.