
KUALA NERUS, 26 Ogos – Dua beranak ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Tok Jembal, di sini awal pagi tadi.
- Mangsa dikenalpasti sebagai Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya Rehan Yusof Amirul Fahmi, sembilan tahun.
- Seorang lagi penghuni, Maimunah Muda, 67, berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
- 24 anggota bomba terlibat; pihak bomba terima panggilan kecemasan pada 2.49 pagi dan mengambil kira-kira tiga jam untuk kawal kebakaran.
- Mayat kedua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Zainal Abidin untuk tindakan lanjut; isteri dan dua anak berada di rumah ibu.
Dua mangsa berkenaan, Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya, Rehan Yusof Amirul Fahmi, sembilan tahun.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.49 pagi.
Beliau berkata kebakaran menyebabkan keseluruhan rumah berkenaan musnah, manakala seorang lagi penghuni, Maimunah Muda, 67, berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
“Kedua-dua mangsa yang berada di tingkat atas rumah gagal menyelamatkan diri berikutan api marak.
“Usaha menyelamat turut berdepan kesukaran dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengawal kebakaran sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata seramai 24 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman yang tamat sepenuhnya pada 8.40 pagi.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk tindakan lanjut.
Difahamkan isteri Amirul Fahmi, Nur Izah Ahmad yang baru selesai berpantang, bersama dua lagi anak mereka bermalam di rumah ibunya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu ketika kejadian.