
PERAI, 26 Ogos – Seorang pemandu kereta maut manakala, dua yang lain cedera, masing-masing merupakan penumpang kereta dan pejalan kaki dalam insiden membabitkan tiga kenderaan, awal pagi tadi berhampiran Taman Pauh, di sini.
- JBPM terima panggilan kecemasan pada pukul 2.31 pagi dan tiba di lokasi dalam 9 minit.
- Kejadian membabitkan tiga kenderaan, dua diletakkan di bahu jalan dengan pemandu kedua-dua kenderaan tiada di lokasi.
- Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pada 3.22 pagi; operasi tamat pada 4.11 pagi selepas pemindahan mangsa ke hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.31 pagi dan tiba di lokasi 9 minit kemudian.
“Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan dengan dua kenderaan tidak bergerak dan diletakkan di bahu jalan dengan pemandu kedua-dua kenderaan berkenaan tiada di lokasi.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta dilaporkan tersepit dan berjaya dikeluarkan pada pukul 3.22 pagi, manakala seorang pejalan kaki turut dilapor mengalami kecederaan.
“Mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan susulan,”katanya.
Beliau turut memaklumkan pemandu kereta yang maut di lokasi telah diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 4.11 pagi.