
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Polis menegaskan siasatan dan usaha mengesan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mohamad Hijazi Zamri, 26, yang dilaporkan hilang sejak 22 Ogos lalu masih giat dijalankan.
- Polis meneliti semua maklumat berkaitan kes untuk membantu siasatan.
- Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
- Penyebaran maklumat tidak disahkan boleh menjejaskan dan mengganggu siasatan polis.
- Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha mengesan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata pihaknya turut meneliti sebarang maklumat yang disampaikan berkaitan kes berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata penegasan itu dibuat susulan kenyataan media yang dikeluarkan pada 24 Ogos lalu berhubung kehilangan Mohamad Hijazi selepas keluar dari kediamannya di kawasan Sungai Ara.
“Pihak polis ingin menegaskan bahawa siasatan lanjut dan usaha mengesan orang hilang tersebut sedang giat dijalankan. Dalam masa yang sama pihak polis turut meneliti sebarang maklumat yang disebarkan berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurut Anuwal, penyebaran maklumat yang tidak disahkan juga boleh menjejaskan dan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan Mohamad Hijazi supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha mengesan beliau.