
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pemerkasaan ekonomi halal berupaya memperkukuh sokongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran lebih luas.
- Usahawan tempatan ada produk berpotensi namun terhalang kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan pensijilan halal.
- Cadangan bantuan berperingkat oleh JAKIM membantu memperoleh pensijilan tanpa menurunkan standard, sambil membolehkan aliran tunai dipertingkatkan.
- Pengukuhan ekosistem halal secara berperingkat membuka peluang eksport dan menjadikan industri halal pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Pengarah Urusan Elzar Shariah Solutions & Advisory Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abd Rahman berpendapat, ramai usahawan tempatan mempunyai produk berpotensi, namun berdepan kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan pensijilan halal.
“Justeru itu, JAKIM boleh membantu kumpulan berkenaan secara berperingkat agar mereka memperoleh pensijilan halal.
“Produk usahawan tempatan bukan sahaja mampu berkembang dalam negara sahaja, malah mempunyai potensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya selepas menjadi tetamu program Biz Malaysia.
Beliau turut menyatakan, pendekatan itu tidak bermaksud ‘mengurangkan’ standard pensijilan halal, sebaliknya proses berperingkat untuk membantu usahawan menjana aliran tunai yang lebih baik sebelum memperkukuh aspek lain dalam perniagaan mereka.
“Mekanisme itu bukan sahaja dapat membantu usahawan memperoleh pensijilan halal tetapi juga membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
“Pengukuhan ekosistem halal secara berperingkat berupaya membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan, sekali gus menjadikan industri halal antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara,”katanya lagi.