
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatat peningkatan 44 peratus keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM394 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026, berbanding RM272.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
- Keuntungan selepas cukai meningkat, dipacu prestasi segmen Komersial dan pemulihan akibat kelewatan pelarasan harga suku sebelumnya.
- Jumlah jualan dan hasil meningkat, disokong permintaan petrol Mogas serta pelaksanaan subsidi BUDI95 melalui aplikasi Setel.
- PDB kekal berhati-hati memasuki suku ketiga, memperkukuh perancangan bekalan, pengurusan inventori, disiplin perolehan dan mengisytiharkan dividen interim.
Peningkatan itu didorong prestasi lebih baik segmen komersial serta pemulihan daripada kesan kelewatan pelarasan harga yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Bagi suku kedua tahun ini, hasil PDB berjumlah RM16.09 bilion, manakala jumlah jualan meningkat satu peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Pertumbuhan jualan disokong peningkatan permintaan petrol Mogas serta pelaksanaan program subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95) melalui aplikasi Setel.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, PAT PDB meningkat 19 peratus kepada RM685.4 juta berbanding RM574 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata prestasi suku kedua mencerminkan ketahanan rantaian bekalan bersepadu syarikat serta komitmen pasukan di seluruh negara.
Katanya, sebagai peruncit bahan api nasional, keutamaan PDB adalah memastikan bekalan bahan api yang berterusan dan stabil kepada rakyat, khususnya ketika pasaran berdepan ketidaktentuan tinggi.
“Prestasi suku kedua kami mencerminkan ketahanan rantaian bekalan bersepadu serta komitmen pasukan kami di seluruh negara. Keutamaan kami sebagai peruncit bahan api nasional adalah memastikan bekalan bahan api yang berterusan dan stabil untuk rakyat Malaysia, khususnya ketika tempoh ketidaktentuan pasaran yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, PDB akan terus mengimbangi keperluan menjamin keselamatan bekalan, disiplin kos dan perkhidmatan pelanggan dalam menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.
Sementara itu, segmen Komersial mencatat prestasi lebih kukuh, didorong peningkatan jumlah jualan diesel susulan penambahbaikan terma kontrak dan disiplin penetapan harga, walaupun jumlah penerbangan yang lebih rendah memberi kesan kepada jualan bahan api penerbangan.
“Segmen Runcit pula terus berdepan tekanan margin akibat persaingan sengit serta turun naik harga MOPS dan premium.
“Namun, keadaan itu sebahagiannya diimbangi rangkaian rantaian bekalan dan logistik PDB yang memastikan bekalan bahan api kekal tersedia di seluruh negara,”menurut kenyataan itu lagi.
Memasuki suku ketiga, PDB kekal berhati-hati susulan konflik Asia Barat yang masih belum selesai dan menjangkakan keadaan pasaran tenaga global terus tidak menentu.
PDB akan terus memperkukuh perancangan bekalan, pengurusan inventori dan disiplin perolehan termasuk membuat persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan keperluan import bagi memastikan bekalan bahan api di seluruh negara kekal terjamin.
Dalam pada itu, PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham bagi suku berakhir 30 Jun 2026.