Hari Kebangsaan ke-69: Malaysia Airlines jadual semula penerbangan

Penumpang terjejas digalak menyemak status penerbangan terkini masing-masing di laman web atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -Malaysia Airlines Berhad bakal menjadualkan semula penerbangan terpilih yang tiba dan berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berikutan penutupan sementara ruang udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ruang udara ditutup sementara untuk latihan dan Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2026.
  • Penumpang terjejas akan dimaklumkan melalui saluran yang didaftarkan; digalak semak status penerbangan di laman web atau aplikasi.
  • Penumpang dinasihat tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pelepasan semasa tempoh cuti sekolah dan waktu puncak perjalanan.
  • Kaunter daftar masuk ditutup 60 minit sebelum pelepasan; pintu pelepasan ditutup 30 minit sebelum berlepas.

Menerusi hantaran di ‘X’, syarikat penerbangan nasional itu menyatakan penutupan ruang udara dalam Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur itu adalah untuk memudah latihan serta acara Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2026.

“Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi yang telah didaftarkan dan digalak menyemak status penerbangan terkini masing-masing di laman web atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines sebelum ke lapangan terbang.

“Menjelang cuti sekolah dan tempoh perjalanan waktu puncak, dari 26 Ogos hingga 6 September ini, penumpang yang berlepas dari KLIA Terminal 1 dinasihat untuk tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pelepasan yang ditetapkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk prosedur di lapangan terbang,”menurut hantaran itu.

Malaysia Airlines turut memaklumkan, penutupan sementara ruang udara itu dijadualkan dari pukul 11 pagi hingga tengah hari pada 26 hingga 28 Ogos, dan dari pukul 8.45 pagi hingga 9.45 pagi pada 29 dan 31 Ogos dengan penutupan ruang udara itu selari dengan ketetapan masa untuk latihan, latihan penuh, serta Lintas Hormat Hari Kebangsaan.

Selain itu, Malaysia Airlines juga mengingatkan penumpang bahawa kaunter daftar masuk ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan ditetapkan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa, manakala pintu pelepasan ditutup 30 minit sebelum pesawat berlepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.