
SEOUL, 24 Ogos – Sebuah kapal kontena Korea Selatan berlepas pada Sabtu untuk pelayaran komersial pertamanya ke Eropah melalui laluan Artik, dalam usaha kemampuan laluan berkenaan dan menjadikan Busan sebagai hab maritim global.
- Laluan dijangka belayar ke utara menyusuri pantai timur Kamchatka, merentasi Laut Bering dan memasuki Laluan Laut Utara.
- Pelayaran termasuk persinggahan di Felixstowe, Rotterdam dan Gdansk sebelum kembali ke Korea Selatan dalam perjalanan sekitar 40 hingga 45 hari.
- Presiden Lee mengutamakan pembangunan laluan perkapalan Artik sebagai usaha memperkukuh kedudukan perkapalan Korea Selatan.
- Inisiatif berdepan tentangan sekutu Barat berkaitan pengasingan Rusia; Seoul mengadakan rundingan dengan Moscow mengenai bantuan sekiranya kapal terperangkap dalam ais.
Kapal PanStar Acro itu dijangka belayar ke utara menyusuri pantai timur Semenanjung Kamchatka, Rusia sebelum merentasi Laut Bering dan memasuki laluan Laut Utara.
Pelayaran itu turut melibatkan persinggahan di Felixstowe, Britain; Rotterdam, Belanda dan Gdansk, Poland sebelum kapal berkenaan kembali ke Korea Selatan dalam perjalanan yang dijangka mengambil masa antara 40 hingga 45 hari.
Langkah itu selaras dengan keutamaan Presiden Lee Jae Myung untuk membangunkan laluan perkapalan Artik sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Korea Selatan sebagai kuasa perkapalan dunia.
Pegawai Korea Selatan berkata, pembangunan laluan berkenaan berpotensi mengubah Busan menjadi hab perdagangan maritim utama selain menjadikan Artik sebagai laluan perdagangan tetap menjelang 2030.
Bagaimanapun, inisiatif itu berdepan konflik dengan sekutu Barat Korea Selatan yang berusaha mengekalkan pengasingan Rusia susulan perang di Ukraine.
Seoul telah mengadakan rundingan dengan Moscow berkaitan pelayaran berkenaan, termasuk mengenai keperluan mendapatkan bantuan sekiranya kapal menghadapi masalah sepanjang perjalanan seperti terperangkap dalam ais.
Kementerian Lautan dan Perikanan Korea Selatan serta Kementerian Luar Rusia tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai pelayaran itu. – REUTERS.