
MADRID, 23 Ogos – Hujan lebat melanda wilayah timur laut Sepanyol hingga menenggelamkan jalan raya, memerangkap pemandu di dalam kenderaan dan memaksa pemindahan penghuni tapak perkhemahan.
- Sekurang-kurangnya 11 orang cedera dalam beberapa insiden di wilayah berkenaan.
- Di Roda de Bera, runtuhan tembok mencederakan tiga orang, seorang dilaporkan dalam keadaan kritikal.
- Pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
- El Vendrell merekodkan 145.4 liter hujan per meter persegi dalam tempoh 24 jam.
Menurut pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya 11 orang cedera pada Sabtu.
Dalam satu kejadian di Roda de Bera, kira-kira 75 kilometer ke barat daya Barcelona, tiga individu cedera termasuk seorang kritikal selepas struktur tembok berhampiran persisiran pantai runtuh.
Pasukan bomba terpaksa menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan dua mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Tujuh lagi mangsa dihantar ke hospital berikutan beberapa insiden berasingan, termasuk dua individu yang tercedera apabila satu lagi tembok di tapak perkhemahan Roda de Bera runtuh akibat ribut pada sebelah malam.
Pihak berkuasa mengesahkan seramai 300 penghuni tapak perkhemahan berkenaan telah dipindahkan dengan kira-kira 100 daripada mereka ditempatkan sementara di sebuah pusat sukan perbandaran.
Menurut Perkhidmatan Meteorologi Catalonia, El Vendrell merupakan antara kawasan terjejas teruk dengan mencatatkan taburan hujan sebanyak 145.4 liter bagi setiap meter persegi dalam tempoh 24 jam.- AFP