
KUDUS, 21 Ogos – Impian skuad Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17) untuk melangkah ke final Piala Srikandi Merdeka 2026 tidak kesampaian selepas tewas 1-5 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia pada Jumaat.
- Nisriena Batrissya dilayangkan kad merah pada minit ke-18, memaksa Malayan Tigress beraksi dengan 10 pemain lebih 70 minit.
- Sofia Jeanne Lacasse tertampan hantaran lintang, memberi gol awal Thailand; Nina Hasmaji menyamakan pada minit ke-41.
- Thailand menguasai babak kedua dengan gol oleh Kawinthida, Kanokporn Wanthong berganda dan Zuzana; Malaysia masih berpeluang rebut tempat ketiga.
Malang buat skuad negara apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih 70 minit selepas Nisriena Batrissya Mohd Azhar dilayangkan kad merah pada minit ke-18.
Thailand membuka jaringan seawal minit ketujuh selepas pemain pertahanan negara, Sofia Jeanne Lacasse tertampan hantaran lintang Kanokporn Wanthong ke gawang sendiri.
Bagaimanapun, kekurangan seorang pemain tidak mematahkan semangat anak buah Fairuz Montana Zainal Abidin apabila mereka terus memberikan tentangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi Nina Hasmaji.
Thailand kembali menguasai permainan pada babak kedua sebelum Kawinthida Kikuntod meledak gol kedua pada minit ke-51.
Wanthong kemudian menambah dua lagi jaringan pada minit ke-65 dan 75, sebelum Zuzana Kordem melengkapkan kemenangan Thailand menerusi gol kelima pada minit ke-86.
Malayan Tigress yang sebelum ini mencuri tumpuan selepas membelasah Arab Saudi 9-0 pada aksi peringkat kumpulan, Selasa lalu, terpaksa melupakan impian ke perlawanan akhir.
Skuad negara bagaimanapun masih berpeluang menamatkan kempen pada kedudukan podium apabila berdepan Garuda Pertiwi atau Jordan dalam penentuan tempat ketiga, Ahad ini.