
PETALING JAYA, 21 Ogos – Gelanggang Arena PJ Skatepark bertukar menjadi pentas persaingan penuh emosi apabila tiga beradik saling berentap dalam acara BMX Flatland wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
- Nur Airin Sofea raih emas BMX Flatland SUKMA 2026 buat Selangor dengan 81.67 mata, menewaskan adiknya Nia (perak 74.00).
- Ketiga-tiga beradik berlatih intensif tiga jam sehari, empat hari seminggu di bawah bimbingan bapa mereka, bekas atlet sukan ekstrem.
- Airin, baru tamat SPM, bercita-cita sambung pengajian kejurulatihan sukan dan wakili negara pada Sukan SEA serta kejohanan antarabangsa.
Tuah bagaimanapun menyebelahi pelumba berusia 18 tahun, Nur Airin Sofea Mohd Nor Aszeril, yang berjaya menebus kekecewaan lalu untuk menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Selangor menerusi kutipan 81.67 mata.
Airin menewaskan adiknya sendiri, Nia Nur Aidryana, 15, yang meraih pingat perak dengan 74.00 mata, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, Nur Qistina Adriana Mohd Nor Abadi dengan catatan 67.67 mata.
Seorang lagi adik mereka, Nur Aidelia Raisya, 13, yang turut mewakili Wilayah Persekutuan, menamatkan saingan di tempat keempat.
Berkongsi mengenai kejayaan itu, Airin mengakui tetap berasa gementar kerana pernah tewas kepada adiknya dalam kejohanan sebelum ini.
“Mula-mula saya rasa gugup juga sebab pernah kalah dengan adik saya sebelum ini. Alhamdulillah, kali ini rezeki pingat emas untuk Selangor.
“Pengorbanan latihan kami memang berbaloi. Kadang-kadang waktu latihan kami lalui pelbagai kegagalan, ada menangis dan sedih. Tapi kami tetap teruskan bersama,” katanya.
Mengulas penglibatan mereka sebagai tiga beradik yang mewakili dua kontinjen berbeza, Airin berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan kesemua mereka mendapat peluang untuk bertanding.
Katanya, Selangor hanya memperuntukkan dua tempat bagi acara berkenaan dan sekiranya salah seorang daripada adiknya kekal mewakili negeri itu, dia terpaksa menjadi atlet simpanan.
“Kalau adik seorang lagi tetap di Selangor, dia terpaksa jadi simpanan dan tidak dapat bertanding. Sebab itu dia membawa cabaran Wilayah Persekutuan, tetapi hakikatnya kami bertiga tetap berlatih bersama-sama,” katanya.
Ketiga-tiga beradik itu menjalani latihan intensif selama tiga jam sehari, empat hari seminggu di bawah bimbingan bapa mereka, Mohd Nor Aszeril, yang juga bekas atlet sukan ekstrem.
Sementara itu, Aidryana berkata, meskipun terlepas pingat emas kepada kakaknya, dia tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan dan kini mengalihkan fokus untuk memburu keputusan positif dalam acara BMX Park yang dijadualkan berlangsung petang ini.
Bagi Airin, kejayaan itu turut menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dalam sukan BMX.
Atlet yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kejurulatihan sukan, selain memasang impian membawa cabaran negara ke temasya Sukan SEA dan kejohanan antarabangsa pada masa depan.