Malaysia sasar cip kerjasama Arm mula pengeluaran menjelang 2030

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Ogos – Malaysia menyasarkan cip yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan Arm Limited memasuki peringkat pengeluaran dan digunakan dalam rantaian bekalan semikonduktor negara menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan reka bentuk cip dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun selepas syarikat memperoleh akses kepada teknologi Arm.
  • Empat syarikat kini berada pada peringkat awal reka bentuk dan penilaian harta intelek berdasarkan teknologi masing-masing.
  • Dua lagi syarikat tempatan menerima surat tawaran hari ini, menjadikan jumlah akses teknologi kepada lapan.
  • Empat akses melalui Arm Compute Subsystem dan empat melalui Arm Flexible Access, kerajaan akan memantau pastikan produk cip berdaya maju.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu mengambil kira tempoh kira-kira tiga tahun yang diperlukan syarikat untuk membangunkan reka bentuk cip selepas memperoleh akses kepada teknologi Arm.

Ketika ini, empat syarikat yang menerima token kerjasama berkenaan berada pada peringkat awal reka bentuk dan penilaian harta intelek (IP), berdasarkan teknologi serta pengkhususan cip masing-masing.

“Selepas mereka mendapat akses kepada IP, proses pembangunan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk menghasilkan cip. Pada masa yang sama, selepas itu mereka perlu mengeluarkan cip berkenaan. Sebab itu kita menetapkan sasaran untuk menghasilkan yang pertama menjelang 2030.

“Untuk mereka menghasilkan reka bentuk, ia mengambil masa kira-kira tiga tahun kerana yang pertama mendapat akses pada hujung tahun lepas, 2025, jadi 2028.

“Kemudian, apabila mereka mula mengeluarkan cip, sudah tentu kita melihat tempoh masa itu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited, di sini.

Menurut Akmal, setiap syarikat menerima akses kepada teknologi berbeza mengikut spesifikasi dan keperluan produk, termasuk teknologi untuk aplikasi automasi serta pelayan.

Beliau turut memaklumkan, dua lagi syarikat tempatan, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd, hari ini menerima surat tawaran akses teknologi Arm, menjadikan jumlah keseluruhan akses yang diberikan setakat ini kepada lapan.

Daripada jumlah itu, empat merupakan akses Arm Compute Subsystem (CSS), manakala empat lagi melalui program Arm Flexible Access (AFA).

Kerajaan akan terus memantau perkembangan syarikat terbabit bagi memastikan kerjasama berkenaan menghasilkan produk cip yang berdaya maju serta mempunyai potensi untuk digunakan dalam rantaian bekalan semikonduktor,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.