
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Malaysia akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN berhubung isu pembakaran terbuka di negara jiran yang menyebabkan cuaca jerebu bertambah teruk, khususnya di Sarawak.
- Menteri Sumber Asli akan mengutus surat kepada rakan sejawat negara berkenaan dalam masa terdekat.
- ASEAN dianggap mekanisme terbaik untuk menangani isu dan masalah antara negara anggota.
- Beberapa kawasan Sarawak catat IPU sangat tidak sihat; banyak titik panas dikesan di Kalimantan dan Sumatera.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan mengutus surat kepada rakan sejawatannya di negara berkenaan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, isu pencemaran udara perlu ditangani sebaik mungkin bagi memastikan masalah berkenaan tidak berulang pada masa hadapan.
“Apabila kita menulis surat kepada rakan sejawatan, kadang-kadang kurang berkesan. Kami percaya ASEAN menjadi mekanisme terbaik untuk mengatasi isu serta masalah antara negara anggota.
“Saya jangka dalam sehari dua ini surat berkenaan dapat diserahkan kepada Sekreteriat ASEAN…..kepada Setiausaha Agung ASEAN supaya Sekreteriat ASEAN dapat mengurus bersama Malaysia dan Indonesia bagi mencari penyelesaian isu jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di rantau ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel, di sini.
Datuk Seri Mohamad kini berada di Brunei bagi menghadiri Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (Exchange of Letters- EOL 27) Malaysia-Brunei bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 Malaysia-Brunei.
Sehingga 2 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian, Sarawak mencecah 227, iaitu pada tahap sangat tidak sihat dengan sembilan kawasan lain di negeri itu merekodkan bacaan tidak sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon dalam satu kenyataan memaklumkan, Sri Aman merekodkan bacaan IPU kedua tertinggi, iaitu 187, diikuti Kuching (176), Samarahan (175), Sarikei (174), Sibu (157), Bintulu dan Samalaju (154) serta Kapit dan Mukah (130).
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 20 Ogos, sebanyak 288 titik panas dikesan di Kalimantan, 53 di Sumatera dan dua di Malaysia, masing-masing satu di Sarawak dan Terengganu.