
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh agenda Sekolah Selamat, Minda Sihat, Insan Sejahtera selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 bagi memastikan sekolah menjadi persekitaran yang selamat, kondusif dan menyokong kesejahteraan murid secara menyeluruh.
- Pelaksanaan Program Minda Sihat merangkumi kesedaran, saringan, intervensi, konsultasi ibu bapa dan kerjasama pelbagai pihak.
- Saringan Minda Sihat penting untuk pencegahan dan pengesanan awal murid yang memerlukan perhatian dan sokongan.
- Pengesanan awal membolehkan guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan intervensi sesuai berdasarkan pengalaman, latar belakang dan sikap murid.
- Penglibatan ibu bapa dan kerjasama agensi seperti JKM serta KKM diperlukan walaupun cabaran agenda berbeza untuk kesejahteraan murid bersama.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Mohd Hanafi Samad berkata, usaha memastikan kesejahteraan mental dan emosi murid dilaksanakan menerusi Program Minda Sihat yang merangkumi lima fokus utama, termasuk kempen kesedaran, saringan dan intervensi, konsultasi bersama ibu bapa serta kerjasama dengan pelbagai pihak.
Beliau berkata, pelaksanaan saringan Minda Sihat penting sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang memerlukan perhatian serta sokongan.
“Kita ada saringan Minda Sihat, yang mana saringan ini dilakukan untuk tujuan pencegahan dan pengesanan awal sekiranya kita dapat lihat skor pelajar-pelajar itu berada dalam keadaan yang kita bimbangkan,” katanya.
Menurut beliau, pengesanan awal membolehkan guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan intervensi yang bersesuaian berdasarkan pengalaman, latar belakang dan sikap setiap murid.
Katanya, penglibatan ibu bapa juga amat penting kerana murid tidak berada di sekolah sepanjang masa, manakala kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka terus diberi perhatian.
Mohd Hanafi berkata, KPM turut bekerjasama dengan agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperkukuh usaha berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara agensi turut mempunyai cabaran tersendiri memandangkan setiap pihak mempunyai agenda dan bidang tanggungjawab masing-masing.
“Sebab itu kita mahu bekerjasama dengan agensi, yang merupakan satu cabaran juga bagi pihak kami kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri.
“Tetapi kita mahu menyatupadukan dan menggerakkan semua pihak agar kita sama-sama faham bahawa ini adalah untuk melahirkan generasi yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, perubahan yang diharapkan menerusi agenda Sekolah Selamat, Minda Sihat, Insan Sejahtera adalah untuk menjadikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid sebagai tanggungjawab bersama, dengan penglibatan aktif guru, ibu bapa, masyarakat serta pelbagai agensi berkaitan.
Katanya, murid yang mempunyai emosi dan minda yang sihat lebih berupaya menghadapi cabaran, membina hubungan sosial yang baik serta mengikuti proses pembelajaran dengan lebih berkesan.