Ombak KLCC dibuka, tarikan baharu berteraskan seni, budaya

Foto laman web Ombak KLCC

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ombak KLCC, sebuah pusat beli-belah baharu yang menampilkan konsep berteraskan kesenian, kebudayaan dan komuniti, kini menjadi antara tarikan terbaharu kepada pengunjung di ibu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reka bentuk unik diinspirasikan daripada tenunan dan corak batik tradisional, menjadikannya ikon kreatif berlainan di kawasan sekitar.
  • Menempatkan Galeri Petronas untuk pemeliharaan seni dan warisan tempatan, menguatkan fokus kebudayaan pusat itu.
  • Operasi pembukaan awal diselia rapi; menyediakan kemudahan acara, konvensyen serta akses mudah melalui pengangkutan awam.

Reka bentuk unik dan beralaf baharu pusat beli-belah itu menjadikannya sebagai ikon kreatif yang menonjol di kawasan sekitarnya, selain mengambil inspirasi daripada keindahan tenunan dan corak batik tradisional Malaysia.

Pembukaan awal Ombak KLCC secara berperingkat turut mendapat sambutan apabila ratusan pengunjung hadir untuk melihat sendiri keunikan reka bentuk serta kemudahan yang ditawarkan.

Selain menempatkan pelbagai premis perniagaan, Ombak KLCC turut memberi penekanan terhadap pemeliharaan seni dan warisan tempatan menerusi penempatan Galeri Petronas yang sebelum ini beroperasi di Menara Berkembar Petronas.

Pengurus Besar Kanan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Ikhwan Hamzah berkata, Ombak KLCC kini berada dalam fasa pembukaan awal berikutan pihak pengurusan masih menjalankan pemantauan dan ujian terhadap fasiliti serta aspek keselamatan sebelum pelancaran rasmi.

“Kita ingin memastikan segala aspek fasiliti dipantau dan diuji dengan teliti. Daripada lif, eskalator, penghadang hingga sistem pendingin hawa, semuanya hendaklah berada dalam keadaan optimum,” katanya.

Sementara itu, pengunjung menyifatkan pusat beli-belah berkenaan sebagai sebuah lokasi yang menarik dan unik, selain mudah diakses menerusi rangkaian pengangkutan awam.

Haslinda Halim, pengunjung dari Kuala Lumpur, berkata Ombak KLCC mempunyai daya tarikan tersendiri menerusi nama dan reka bentuknya yang unik.

“Ia merupakan pusat beli-belah yang sangat menarik, dengan nama yang unik serta mesra dengan laluan pengangkutan awam,” katanya.

Bagi Sylvennya Jordanna dari Sabah, beliau mengetahui mengenai pembukaan Ombak KLCC menerusi media sosial dan tertarik dengan reka bentuk bangunan yang moden.

“Saya tahu mengenai pembukaan ini daripada media sosial. Ia kelihatan futuristik dan reka bentuknya seakan-akan sebuah kapal pesiar.

“Berbanding dengan tempat di Sabah, ia memang lebih menonjol dan sangat menarik untuk dikunjungi,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Maghribi, Aabida Zaki, turut menyifatkan kemudahan dan konsep yang ditawarkan sebagai antara keistimewaan pusat beli-belah itu.

“Ia sangat menarik. Berbanding dengan tempat saya di Eropah, kami tidak mempunyai banyak kemudahan dan pusat beli-belah seperti ini. Ia sememangnya sangat disarankan untuk dikunjungi,” katanya.

Selain berfungsi sebagai pusat beli-belah, Ombak KLCC turut menawarkan ruang acara dan kemudahan konvensyen yang membolehkan pelbagai program serta aktiviti dianjurkan dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.