Iran kecam siri baharu sekatan as sebagai ‘keganasan ekonomi’

Foto AFP

ISTANBUL, 21 Ogos – Tehran pada Khamis mengecam siri baharu sekatan ekonomi dan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap Iran, dengan menyifatkannya sebagai ‘keganasan ekonomi’, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar Iran mengecam sekatan AS sebagai "keganasan ekonomi" dan jenayah terhadap kemanusiaan.
  • Mereka menuntut perbicaraan dan hukuman terhadap perancang serta pelaksana langkah sekatan yang digelar jenayah keji.
  • Sekatan digambarkan sebagai kesinambungan 73 tahun permusuhan dan sisi lain perang yang mengancam keamanan serta keselamatan global.
  • Presiden AS umumkan operasi ekonomi paling dahsyat, berikrar memutus saluran kewangan Tehran dan menggesa sekutu sertai tekanan maksimum.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar Iran menyifatkan sekatan itu sebagai “kesinambungan 73 tahun tindakan memusuhi dan kebencian ahli politik Amerika terhadap rakyat Iran.”

“Sekatan ekonomi AS terhadap Iran yang menyasarkan hak asasi manusia rakyat Iran merupakan keganasan ekonomi dan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu berkata mereka yang merangka dan melaksanakan langkah sedemikian “wajar didakwa dan dihukum kerana melakukan jenayah keji itu.”

Menurut kementerian berkenaan, sekatan baharu itu dikenakan susulan apa yang disifatkannya sebagai dua “perang Amerika-Zionis terhadap Iran” serta kegagalan Washington selepas itu untuk memaksa rakyat Iran tunduk kepada “tuntutan yang tidak sah dan tidak berperikemanusiaan.”

Ia turut menyifatkan tekanan ekonomi AS sebagai “sisi lain daripada perang”, sambil berkata kebergantungan Washington kepada kedua-dua taktik itu menimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan global.

Iran kekal “teguh dan bertekad” mempertahankan kepentingan nasionalnya daripada tekanan ketenteraan, ekonomi, politik dan psikologi AS, menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan hasrat untuk melancarkan apa yang disifatkannya sebagai “operasi ekonomi paling dahsyat pernah diambil terhadap mana-mana negara,” dengan menyifatkan kempen tekanan maksimum terhadap Iran sebagai “Peperangan Ekonomi dan Pengasingan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Beliau berikrar memutuskan saluran kewangan yang menyokong Tehran, sambil memberi amaran bahawa negara yang menyediakan “talian hayat” ekonomi kepada Iran menerusi institusi kewangan, perniagaan, lapangan terbang atau entiti kerajaan akan berdepan akibat ekonomi yang serius.

Trump yang menyifatkan kempen itu sebagai “Economic D-Day” turut menggesa sekutu Washington menyertai usaha terbaharunya untuk melumpuhkan Tehran dari segi kewangan.- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.