
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Seramai 253 pengamal media setakat ini telah menerima manfaat inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dengan jumlah sumbangan yang disalurkan melebihi RM770,000.
- 42 pengamal media berbahasa Tamil menerima sumbangan melalui inisiatif Tabung Kasih@HAWANA.
- Editor Kanan Makkal Osai, Rajan Boopalan, kini menerima rawatan selepas pembedahan keluarkan darah beku, keadaannya dilaporkan stabil.
- Bantuan khusus untuk Rajan diserahkan kepada isterinya, A. Saraswathi, selepas lawatan Timbalan Menteri Komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan, daripada angka keseluruhan penerima tahun ini, 42 pengamal media daripada agensi media berbahasa Tamil telah menerima sumbangan masing-masing.
“Editor Kanan Makkal Osai, Rajan Boopalan, 68 tahun yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang, merupakan antara penerima baharu,”katanya selepas melawat veteran media itu.
Bantuan kepada Rajan diserahkan kepada isterinya, A.Saraswathi.
Rajan sebelum ini dilapor tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan salur darah di kepala pecah.
Beliau kemudian menjalani prosedur pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dan keadaannya kini dilaporkan stabil bagi menerima rawatan susulan.