FINAS terus runding dapatkan salinan karya P. Ramlee

Teo Nie Ching / Foto BKK Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Usaha mendapatkan salinan karya Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee bagi tujuan pemeliharaan masih diteruskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi rundingan dengan pemegang hak berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shaw Brothers di Singapura memberi maklum balas kepada FINAS selepas dihubungi.
  • Sekiranya FINAS memperoleh salinan, jaminan diberikan agar bahan tersebut dipelihara dengan sebaiknya.
  • FINAS menilai kemungkinan bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia untuk mendigitalkan karya Allahyarham.
  • Kerajaan masih belum memiliki hak cipta; status pemilikan perlu ditentukan mengikut rekod penerbitan dan perjanjian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, rundingan turut melibatkan Shaw Brothers di Singapura yang telah memberi maklum balas kepada FINAS bulan lalu.

“Rundingan ini masih diteruskan kerana antaranya juga ada permintaan daripada pemegang hak tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan ahli parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Teo turut memberi jaminan, sekiranya FINAS memperoleh salinan karya berkenaan, usaha terbaik akan dilakukan bagi memastikan bahan itu dipelihara dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, FINAS juga sedang melihat kemungkinan bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia dalam usaha mendigitalkan karya Allahyarham.

Pada masa sama, meneliti beberapa mekanisme termasuk pemerolehan hak, pengurusan bersama atau bentuk kerjasama bersesuaian dengan pemegang hak.

Penelitian itu mengambil kira aspek perundangan, kepentingan waris serta kemampuan kewangan kerajaan.

Ketika ini, kerajaan masih belum memiliki hak cipta ke atas filem-filem Allahyarham.

Status pemilikan hak perlu ditentukan bagi setiap karya berdasarkan rekod penerbitan, perjanjian dan dokumen berkaitan.

Kebanyakan filem P. Ramlee antara 1948 hingga 1964 diterbitkan Malay Film Productions, studio milik Shaw Brothers di Singapura, manakala 18 filem lagi dihasilkan di bawah Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur antara 1964 hingga 1972.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.