Operasi Motosikal Ekstrem: JPJ Perak kesan 247 kesalahan

Foto BERNAMA

IPOH, 20 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengesan sebanyak 247 kesalahan sepanjang pelaksanaan Operasi Motosikal Ekstrem bagi tempoh 1 Januari hingga Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 146 motosikal diperiksa, 79 daripadanya dikenakan tindakan oleh JPJ Perak.
  • 37 motosikal disita; 21 didapati menjalankan pengubahsuaian ekstrem melanggar spesifikasi.
  • Kesalahan utama termasuk pengubahsuaian tayar "tayar sotong", ekzos senapang atau perang, dan pemansuhan brek belakang.
  • JPJ Perak bekerjasama dengan KPDN Perak untuk kesan lokasi penjualan alat ganti berpotensi disalahguna.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sejumlah 146 motosikal telah diperiksa dengan 79 daripadanya telah diambil tindakan.

Jelas beliau, tindakan sitaan telah dikenakan terhadap 37 motosikal dengan 21 daripadanya dikenalpasti melakukan pengubahsuaian ekstrem yang melanggar spesifikasi ditetapkan.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah pengubahsuaian tayar, kita panggil tayar sotong…penggunaan ekzos yang telah diubahsuai yang dikenali sebagai ekzos senapang atau ekzos perang dan paling menakutkan sistem brek telah diubahsuai iaitu buang brek belakang, tinggal brek hadapan sahaja,” katanya pada sidang media Operasi Ekstrem Motosikal JPJ Perak di Depoh Tahanan Kenderaan Sita di sini.

Sebagai langkah pencegahan, JPJ Perak akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak untuk mengenalpasti lokasi penjualan alat ganti motosikal yang berpotensi disalah guna bagi tujuan pengubahsuaian ekstrem.

Ia bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil sekali gus mengelak penyalahgunaan alat ganti berkenaan dalam kalangan pengguna motosikal.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 190 kenderaan mewah telah ditahan menerusi Operasi Kenderaan Mewah (Op Luxury) JPJ Perak bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini.

“Daripada jumlah itu, 121 kenderaan telah dilepaskan manakala 69 kenderaan masih ditempatkan di depoh sita JPJ Perak, dengan kegagalan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta tiada perlindungan insurans antara kesalahan utama yang dikesan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.