
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Seramai 17 kanak-kanak warganegara Jordan berusia antara tiga bulan hingga 14 tahun berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi pemerdagangan orang menerusi operasi khas ‘Op Pintas Kasih’ yang dilancarkan pada Rabu.
- Sindiket memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial 90 hari, mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengemis dengan kutipan harian RM500 hingga RM1,000.
- PDRM menahan 15 suspek warga Jordan dan merampas telefon bimbit, 32 pasport, kereta sorong bayi serta wang tunai pelbagai mata wang asing.
- Kanak-kanak ditempatkan di bawah perlindungan Seksyen 44 Akta 670; kes disiasat mengikut Akta 670, Akta Kanak-Kanak dan Akta Imigresen.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kesemua mangsa merupakan lapan kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan itu dipercayai akan diperalat bagi tujuan mengemis di sekitar ibu kota.
“Pihak polis turut menangkap 15 individu warga Jordan merangkumi tujuh lelaki dan lapan wanita berusia antara 21 hingga 49 tahun yang dipercayai mendalangi kegiatan eksploitasi berkenaan menerusi tujuh serbuan di kawasan kaki lima dan enam serbuan di premis penginapan sekitar Bukit Bintang serta Chow Kit,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Datuk M. Kumar, siasatan awal mendapati ahli kumpulan sindiket tersebut memasuki Malaysia secara sah menggunakan Pas Lawatan Sosial selama 90 hari sebelum mengeksploitasi dan membawa kanak-kanak terbabit untuk mengemis, dengan hasil kutipan harian mampu mencecah antara RM500 hingga RM1,000 sehari.
Beliau menambah, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada wujud hubungan persaudaraan antara 17 kanak-kanak yang diselamatkan itu dengan kesemua suspek yang ditangkap.
Dalam serbuan tersebut, pelbagai barang kes turut dirampas termasuk 14 unit telefon bimbit, 32 pasport Jordan, empat unit kereta sorong bayi, serta pelbagai mata wang asing.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) bersama Bahagian D6 dan D7 JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak dan golongan rentan demi keuntungan. Tindakan penguatkuasaan secara tegas, proaktif dan berteraskan risikan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan, membongkar serta memutuskan rangkaian eksploitasi dan pemerdagangan orang hingga ke akar umbi,” tegasnya.
Kesemua tangkapan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Kanak-kanak yang diselamatkan pula ditempatkan di bawah perlindungan mengikut peruntukan Seksyen 44 Akta 670.
PDRM turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.