Kelulusan permit, lesen agrikomoditi lebih pantas menerusi MyPermit, eLesen BNG

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad/Foto KPK

KUALA LUMPUR, 24 November – Tempoh kelulusan permit dan lesen industri agrikomoditi bakal dipercepat menerusi dua inisiatif pendigitalan baharu iaitu Sistem MyPermit Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan sistem eLesen menerusi platform BLESS Generasi Baharu (BNG).

RINGKASAN BERITA AI
  • MyPermit meluluskan permit eksport getah dalam 15 minit, berbanding 14 hari melalui proses manual.
  • Mulai 1 Disember, permohonan lesen industri biobahan api boleh dibuat dalam talian, dengan kelulusan maksimum 15 hari bekerja bagi permohonan lengkap.
  • KPK akan menyeragamkan panduan permohonan, mempermudah syarat dan mengurangkan dokumen berulang, khususnya untuk pekebun kecil, perusahaan kecil dan pemohon kali pertama.

Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata menerusi perkhidmatan digital itu pemohon boleh mendapatkan maklumat mengenai dokumen yang diperlukan, menyemak status permohonan serta mengenal pasti saluran bantuan dengan lebih mudah.

“Usaha memudahkan urusan pelesenan perlu disertai penguatkuasaan yang konsisten.

”Dalam menjalankan pemeriksaan agensi perlu memberi keutamaan kepada aktiviti yang mempunyai risiko dan jika peraturan memerlukan pembetulan agensi perlu jelaskan kepada pengusaha apa yang perlu dibuat dan berapa lama tempoh diperlukan.

”Inisiatif ini melibatkan Bahagian Biojisim dan Biobahan Api, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Lembaga Koko Malaysia,” katanya ketika berucap bersempena perasmian penutup Konvensyen Pelesenan dan Penguatkuasaan Sektor Agrikomoditi 2026 di sini.

Menerusi sistem MyPermit yang mula digunakan pada 2 November lalu, permohonan permit eksport getah dapat diluluskan dalam tempoh 15 minit berbanding 14 hari menerusi proses manual sebelum ini.

Sementara itu, mulai 1 Disember nanti, semua permohonan lesen bagi aktiviti industri biobahan api yang dikawal selia oleh KPK boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi platform BNG.

“Menerusi pelaksanaan sistem berkenaan, KPK menyasarkan tempoh pemprosesan dan kelulusan lesen dipendekkan daripada 30 hari bekerja kepada maksimum 15 hari bekerja bagi permohonan lengkap yang memenuhi semua syarat ditetapkan.

“Pelaksanaan eLesen menerusi platform BNG turut melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” jelasnya.

Dalam pada itu, KPK komited untuk terus menambah baik prosedur pelesenan melalui penyeragaman panduan permohonan, syarat dipermudah serta pengurangan keperluan mengemukakan dokumen yang sama secara berulang.

“Ini khususnya bagi membantu pekebun kecil, perusahaan kecil dan pemohon kali pertama,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.