
KUALA LUMPUR, 24 November – Keberkesanan dasar kesihatan negara perlu dinilai berdasarkan sejauh mana rakyat memahami dan memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan, bukan sekadar jumlah program yang dilaksanakan.
- Keberkesanan dasar kesihatan diukur melalui manfaatnya kepada rakyat, bukan jumlah program yang dilaksanakan.
- Media digalakkan melaporkan kisah petugas kesihatan, pesakit serta inisiatif digital, konsultasi maya dan klinik bergerak.
- Pelaporan kesihatan perlu teliti, berfakta dan beretika bagi membendung maklumat palsu serta mengelakkan kekeliruan masyarakat.
- Hubungan KKM dengan media perlu diperkukuh melalui komunikasi dua hala yang telus, terbuka dan menerima kritikan membina.
Menteri Kesihatan (KKM) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar kesihatan memberi impak yang bermakna kepada masyarakat.
“Kejayaan sesuatu dasar bukan diukur pada jumlah program semata-mata tetapi sejauh mana rakyat memahami dan memanfaatkannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Bersama Menteri Kesihatan Tahun 2026 di ibu negara, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengamal media mengetengahkan laporan yang dekat dengan kehidupan masyarakat termasuk pengorbanan petugas kesihatan barisan hadapan, ketabahan pesakit serta pelaksanaan inisiatif kesihatan digital, konsultasi maya dan klinik bergerak.
“Media adalah penghubung terpenting antara KKM dengan rakyat, memastikan masyarakat bukan sahaja menerima maklumat, malah mampu membuat keputusan tepat demi kesihatan diri dan keluarga,” katanya.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut menekankan kepentingan profesionalisme dan etika kewartawanan dalam menangani penularan maklumat kesihatan palsu di media sosial, menerusi pelaporan yang teliti, berfakta dan berhemah bagi mengelakkan kekeliruan serta kebimbangan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berharap hubungan strategik antara KKM dengan organisasi media terus diperkukuh menerusi komunikasi dua hala yang telus dan terbuka, termasuk menerima pandangan serta kritikan membina.