Empat pekerja maut dirempuh kereta api di Jepun

Anggota penyelamat berkumpul di sekitar sebuah kereta api selepas empat pekerja maut dilanggar kereta api di Stesen Shin-Kanuma, utara Tokyo, Jepun hari ini/AFP

TOKYO, 20 Ogos- Empat pekerja yang sedang melakukan pembersihan di sekitar landasan kereta api maut selepas dirempuh sebuah kereta api di Stesen Shin-Kanuma, utara Tokyo, Jepun, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan kecemasan menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.47 pagi waktu tempatan.
  • Kereta api terbabit ialah perkhidmatan ekspres Spacia X di Laluan Tobu Nikko.
  • Pekerja dipercayai sedang membersihkan rumpai di sekitar landasan ketika insiden; tiga terperangkap bawah kereta, seorang di platform.
  • Seorang penumpang dengar bunyi dentuman kuat sebelum kereta api berhenti mengejut; kemalangan rel maut jarang berlaku di Jepun.

Pasukan kecemasan menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.47 pagi waktu tempatan (9.47 pagi waktu Malaysia).

Kyodo News melaporkan kereta api terbabit ialah perkhidmatan ekspres Spacia X di Laluan Tobu Nikko yang menghubungkan Tokyo dengan Nikko.

Bomba memaklumkan ketika pasukan kecemasan tiba di lokasi, tiga mangsa didapati terperangkap di bawah kereta api manakala seorang lagi berada di platform.

“Keempat-empat mereka ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital,” menurut pegawai bomba.

Menurut Nippon TV, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang menjalankan kerja-kerja membersihkan rumput di sekitar landasan berkenaan.

Seorang penumpang berusia 40 tahun berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum kereta api terbabit berhenti secara mengejut.

“Saya terdengar bunyi dentuman kuat. Kemudian kereta api berhenti secara kecemasan sehingga sukar untuk berdiri,” katanya.

Kemalangan maut membabitkan kereta api jarang berlaku di Jepun yang mempunyai sistem keselamatan rel antara paling ketat di dunia.

Kemalangan kereta api paling buruk di negara itu berlaku pada April 2005 apabila sebuah kereta api komuter tergelincir dan merempuh bangunan pangsapuri di Amagasaki, wilayah Hyogo, mengorbankan 107 orang dan mencederakan lebih 500 yang lain. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.