Kes Zayn Rayyan: Mahkamah Tinggi tetapkan 28 Sept putuskan rayuan Ismanira

Ismanira Abdul Manaf hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini bagi pendengaran rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya./ BERNAMA

SHAH ALAM, 19 Ogos – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 Sept untuk memutuskan rayuan Ismanira Abdul Manaf bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakim memberi masa untuk menimbang hujah kedua-dua pihak dan rayuan silang berhubung hukuman.
  • Pembelaan berhujah mahkamah tersilap membuat kesimpulan bahawa kecederaan berpunca daripada tindakan membenarkan kanak-kanak berjalan di belakangnya.
  • Pendakwa memohon hukuman lebih tinggi sebagai pencegahan; sabitan dan hukuman penjara disokong, serta perintah khidmat masyarakat 120 jam selepas penjara.

Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dan rayuan silang pihak pendakwaan berhubung hukuman yang dijatuhkan ke atas Ismanira, 31, sebelum ini.

“Saya perlukan sedikit masa,” kata hakim itu dalam prosiding yang dihadiri peguam Haresh Mahadevan, Lavanesh Haresh, Tiara Katirina Fuad dan Haijan Omar bagi pihak Ismanira.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Aqharie Durranie Aziz dan Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Terdahulu, Lavanesh memohon mahkamah membenarkan rayuan Ismanira terhadap sabitan serta hukuman penjara lima tahun yang disifatkannya sebagai terlalu berat.

Beliau juga berkata anak guamnya telah menjalani hukuman penjara selama 10 bulan dan memohon tempoh itu diambil kira sekiranya mahkamah mengenakan denda.

Dalam petisyen rayuan, pihak pembelaan berhujah Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membuat kesimpulan bahawa kecederaan yang berlaku selepas kehilangan Zayn Rayyan adalah berpunca daripada tindakan perayu membenarkan kanak-kanak itu berjalan di belakangnya.

Hujah pembelaan lagi, mahkamah tersilap apabila bergantung kepada kesimpulan pegawai penyiasat yang menyifatkan tindakan Ismanira sebagai satu bentuk pengabaian.

Sementara itu, Raja Zaizul Faridah berhujah sabitan dan tempoh pemenjaraan lima tahun yang dikenakan ke atas Ismanira adalah wajar namun memohon hukuman lebih tinggi yang bersifat pencegahan.

“Kita tidak mahu senario serupa digunakan di dalam kes akan datang, iaitu jika pelaku merupakan orang yang memelihara mereka, yang rapat dengan mereka melakukan kesalahan, satu hukuman yang rendah dikenakan atas alasan mitigasi seperti ini.

“Jadi, atas sebab ini, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan satu hukuman yang tinggi dan bersifat pencegahan supaya dapat menyampaikan mesej kepada yang di luar sana agar tidak melakukan kesalahan sebegini,” katanya.

Pada 23 Dis 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya bagi kesalahan Zayn Rayyan.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dalam kes berkenaan.

Ismanira turut diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.