Zaffin bangkit, raih emas acara 50m Rifle 3 Posisi Lelaki

Foto RTM

SUBANG, 19 Ogos – Ahmad Zaffin Kushairie Mohd Azman bangkit selepas dibatalkan penyertaan untuk meraih pingat emas acara 50 meter Rifle 3 Posisi (3P) individu lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zaffin meraih emas 50m Rifle 3 Posisi individu lelaki dengan 343.90 mata.
  • SUKMA 2026 menjadi penampilan terakhirnya; beliau akan fokus ke skuad kebangsaan dan sasaran kejohanan antarabangsa serta Sukan SEA 2027.
  • Beliau berterima kasih kepada jurulatih dan wakil negeri, yakin barisan pelapis dapat terus meningkatkan prestasi negara.

Atlet Pahang itu pada awalnya dikenakan kad merah selepas terlupa meletakkan ‘safety flag’ pada senjata ketika membuat persediaan, namun kembali beraksi selepas diberi amaran sebelum meneruskan saingan dan muncul juara.

“Saya sememangnya sudah bersedia untuk acara 3 Posisi ini dan telah menetapkan sasaran. Namun, secara tidak dijangka saya telah hilang kelayakan kerana kesilapan sendiri apabila tidak meletakkan ‘safety flag’.

Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada jurulatih serta wakil dari negeri-negeri lain yang telah memberikan peringatan. Selepas dibenarkan untuk bertanding semula, saya cuba memberikan yang terbaik dan rezeki saya untuk meraih pingat emas,” katanya ketika ditemui media.

Penampilan di SUKMA tahun ini menjadi yang terakhir buat Zaffin, sebelum beralih untuk memberi tumpuan kepada skuad kebangsaan dengan sasaran untuk melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa dan Sukan SEA 2027.

Beliau turut yakin barisan pelapis mampu terus meningkatkan prestasi dan menjadi sandaran negara pada masa depan.

“Setakat ini saya nampak pelapis mempunyai perkembangan dan prestasi yang agak baik. Insya-Allah mereka boleh terus meningkatkan prestasi untuk skuad kebangsaan dan kejohanan akan datang,” jelasnya.

Keputusan acara 50m Rifle 3 Posisi individu lelaki menyaksikan Zaffin meraih emas dengan 343.90 mata, diikuti rakan senegeri Muhammad Iman Syahmi Mohd Azidi dengan 342.60 mata untuk perak, manakala Muhammad Azman Mohd Ridzuan dari Negeri Sembilan meraih gangsa dengan 333.10 mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.