Lebih 127,000 kandungan ‘scam’ diarah diturunkan – Datuk Seri Fahmi

Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan lebih 127,000 kandungan penipuan ‘scam’ dalam pelbagai platform media sosial, yang direkodkan bagi tempoh 1 Jan lepas hingga hari ini, menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akaun palsu dikesan sebagai antara saluran utama jenayah penipuan dalam media sosial.
  • 53% kandungan scam ditemui di Facebook, 39% di TikTok, bakinya di platform lain.
  • Orang ramai digalakkan semak maklumat melalui Sebenarnya.my, MyCheck dan pengesahan media arus perdana.
  • Kerajaan mewartakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko; platform perlu patuhi untuk elak kandungan memudaratkan.

Kewujudan akaun palsu dikesan menjadi antara saluran utama jenayah penipuan.

Menurutnya, platform berkenaan telah diarah menurunkan kesemua kandungan terbabit, di mana ia melibatkan 53 peratus daripadanya kandungan di Facebook, manakala 39 peratus di TikTok.

Datuk Seri Fahmi menegaskan, kesemua kandungan ‘scam’ yang dikeasn mewakili 27 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan yang dibuat terhadap platform berkenaan.

“Kandungan scam yang telah dikesan dan diminta untuk diturunkan, termasuk maklumat seperti ada tambahan SARA dan yang tak diumumkan oleh pihak MOF, setakat hari ini sebanyak 127,568 kandungan telah diminta untuk diturunkan. Ini mewakili 27 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diminta untuk diturunkan.

“Dan daripada angka tersebut, 53 peratus adalah di platform Facebook, 39 peratus di platform TikTok, dan bakinya adalah di platform-platform yang lain,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau menggalakkan orang ramai agar membuat semakan melalui platform Sebenarnya.my dan MyCheck, selain mendapatkan pengesahan daripada media arus perdana.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata kerajaan telah mewartakan Child Protection Code (CPC) dan Risk Mitigation Code (RMC) yang perlu dipatuhi platform media sosial dikenal pasti.

“Kita telah mengeluarkan dan mewartakan dua kod. Yang pertama Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan kedua Kod Pengurangan Risiko (RMC), berhubung paltform media sosial yang menawarkan judi dalam talian.

“Platform-platform media sosial yang telah dikenal pasti perlu mematuhi kedua-dua kod ini dan kita beri mereka masa beberapa bulan yang akan datang ini untuk pastikan segala tindakan diambil secara terselaras untuk elak daripada kandungan yang memudaratkan, yang boleh mengancam harta ataupun nyawa dalam platform masing-masing,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan proses penurunan kandungan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit bagi setiap permohonan.

“Untuk setiap kandungan yang diminta diturunkan, petugas MCMC memerlukan masa 30 ke 45 minit untuk mengisi borang dan menghantar kepada pihak berkenaan. Jadi, ia memang memakan masa dan kos yang tinggi untuk pihak kerajaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.